mutakhir

Kerjasama Perkeso, MSU tingkat kualiti rehabilitasi

Oleh Suliati Asri

Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merasmikan Pusat Rehabilitasi Perkeso Shah Alam dan memeterai memorandum perjanjian bersama MSU Medical Centre, baru-baru ini.

Pembukaan itu menandakan satu langkah signifikan yang diambil dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan rehabilitasi kepada Orang Berinsurans Perkeso dan individu yang memerlukan, khususnya di sekitar Lembah Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata kerjasama strategik itu membolehkan kedua-dua institusi meningkatkan penyampaian perkhidmatan rehabilitasi dan rawatan neuro-robotik yang berkesan, canggih, dan berkualiti.

Katanya, pihaknya juga rancangan untuk memperluas perkhidmatan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Shah Alam dengan memperkenalkan program neuromodulasi dalam masa terdekat.

"Program ini bertujuan untuk meningkatkan lagi kualiti dan keberkesanan rawatan rehabilitasi, khususnya bagi mereka yang mengalami gangguan saraf.

"Ini menunjukkan komitmen Perkeso dalam menghadirkan inovasi terkini dalam bidang pemulihan dan rehabilitasi, selaras dengan misi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada Orang Berinsurans Perkeso dan individu yang memerlukan, "katanya.

Sementara itu, Presiden MSU dan MSU Medical Centre Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata kerjasama pintar itu bakal memperkasakan lagi peranan pusat perubatan terbabit dalam memberikan perkhidmatan kesihatan dan sokongan kepada golongan memerlukan khasnya ahli Perkeso.

"MoA ini juga memberi impak positif dan komprehensif kepada kerjasama pintar di antara pihak swasta dan awam mengikut bidang kepakaran masing-masing," katanya.

Pusat Rehabilitasi Perkeso Shah Alam yang terletak di Tingkat 10 MSU Medical Centre menyediakan rawatan pemulihan menyeluruh dengan menggunakan peralatan robotik terkini, memastikan intervensi awal dan rehabilitasi intensif untuk pelbagai keadaan pesakit.

Sejak beroperasi pada 3 Julai 2023, pusat ini berjaya memberi rehabilitasi kepada 151 Orang Berinsurans Perkeso.

Disiarkan pada: February 21, 2024 @ 3:04pm
d