mutakhir

NS sasar 10,000 pelancong Bangladesh tahun ini

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Warga Bangladesh sudah dikenali sebagai antara pekerja asing yang teramai di negara ini namun Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan kehadiran 10,000 pelancong Bangladesh berpendapatan tinggi tahun ini.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, usaha sedang dilakukan bagi menarik kemasukan pelancong dari Bangladesh menerusi kerjasama dengan pemain industri mereka.

"Saya difahamkan kira-kira lebih 3,000 pelancong Bangladesh pergi ke Thailand setiap bulan dan 1,000 pergi ke Singapura sedangkan kadar pertukaran wang negara kita lebih rendah yang boleh menarik mereka melancong ke negara kita.

"Jika mereka mampu pergi ke Singapura, mengapa hanya 500 saja rakyat negara itu yang datang Malaysia dan kita perlu ambil peluang menarik kehadiran pelancong dari sana seramai mungkin," katanya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Hotel Negeri Sembilan (MAH) dengan ejen pelancongan terkemuka di Bangladesh iaitu Cosmos Holiday Bangladesh di sini, petang tadi.

Program disempurnakan Pengerusi MAH Negeri Sembilan, Haziz Hassan dan Pengarah Urusan Cosmos Holiday Bangladesh, Sabbir Ahmed.

Nicole berkata, beliau mendapati salah satu faktor kekurangan pelancong dari negara terbabit disebabkan masalah permohonan visa yang mengambil masa agak lama untuk diluluskan berbanding negara jiran yang hanya mengambil masa tiga hari.

Sehubungan itu katanya, beliau akan berbincang dengan pihak berwajib bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Saya rasa masalah timbul kerana mereka gunakan kriteria yang sama untuk visa pekerja dengan visa pelancong, mungkin ini antara penyebab utama kekurangan kemasukan pelancong ke negara kita.

"Saya akan cuba berbincang dengan pihak berkenaan supaya dapat digunakan satu kriteria berlainan terutamanya untuk pelancong berpendapatan tinggi atau berprofil tinggi bagi menggalakkan lebih ramai yang datang ke Negeri Sembilan khususnya Port Dickson," katanya.

Menurutnya, sebagai permulaan kira-kira 160 pelancong dari negara itu akan datang ke Negeri Sembilan pada Mei ini menerusi komitmen daripada Cosmos Holiday Bangladesh.

"Mereka difahamkan akan turun di Lapangan Terbang Melaka dan terus ke Port Dickson untuk bermain golf.

"Keunikan dan kelebihan negara kita kerana mesra Muslim dan kebanyakan rakyat negara itu pula beragama Islam dan kita akan gunakan kelebihan ini (bagi menarik mereka).

"Selain itu saya juga dapati mereka berminat dengan pelancongan perubatan dan pelaburan," katanya.

Dalam pada itu beliau berharap stigma negatif terhadap rakyat negara terbabit perlu diubah kerana bukan semuanya begitu.

Ini kerana katanya, ada antara mereka yang berpendidikan tinggi dan jauh berbeza dengan gaya hidup pekerja asing yang biasa dilihat di negara ini.

Disiarkan pada: February 23, 2024 @ 8:12pm
d