mutakhir

'Niat simpan waktu terdesak, tak sangka menang' - Pemenang Jutawan BSN SSP

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Ipoh: Bekas tukang cuci menerima 'durian runtuh' apabila diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) yang ke-96.

Mohd Nazri Abd Wazir, 61, yang berasal dari Parit, berkata dia tidak menyangka akan memenangi RM1 juta hasil usahanya menyimpan secara konsisten dalam BSN SSP sejak tahun 2003.

Menurutnya, niat asalnya menyimpan hanyalah untuk kegunaan sewaktu terdesak dan tidak pernah menyangka akan dinobatkan sebagai pemenang.

"Mula-mula terperanjat apabila menerima panggilan daripada pegawai BSN pada 5 Februari lalu. Nasib baik tak pengsan.

"Saya cuma percaya selepas pergi ke BSN Cawangan Parit untuk membuat pengesahan," katanya selepas menerima replika cek yang diserahkan oleh Pengarah BSN Perak, Mazlan Mat Jalil di sini, hari ini.

Ditanya mengenai perancangannya terhadap wang dimenangi itu, Mohd Nazri berkata, ia akan digunakan untuk membawa ibunya yang berusia 84 mengerjakan ibadah haji selain menampung perbelanjaan harian dirinya yang masih bujang.

Sementara itu, pemenang cabutan ulang tahun BSN ke-50, Mohd Nasir Abdullah, 57, berkata dia berasa bertuah kerana memenangi RM50,000 selepas hanya enam bulan menyertai BSN SSP.

"Saya mula menyimpan sejak bujang lagi, namun sertai cabutan ini Jun tahun lalu. Tak sangka saya boleh menang secepat ini.

"Wang ini saya akan manfaatkan untuk tiga anak yang masih belajar," kata penjawat awam yang berasal dari Pasir Salak itu.

Cabutan ulang tahun BSN ke-50 itu turut dimenangi guru sekolah rendah dari Taiping, Mahani Muhammad, 56, dengan membawa pulang hadiah RM50,000.

Disiarkan pada: February 24, 2024 @ 3:17pm
d