mutakhir

Suami, isteri warga emas, pembantu rumah cedera dalam kebakaran 4 rumah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Pasangan suami isteri warga emas dan pembantu rumah mereka cedera ringan dalam kebakaran yang membabitkan empat rumah di Tanjung Bendahara, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.01 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Jalan Raja yang dibantu BBP Alor Setar dan BBP Pendang serta bantuan daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Berjaya, Jalan Kundor serta Seberang Nyonya.

"Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan empat rumah dan dua daripada rumah berkenaan musnah 95 peratus manakala sebuah lagi 90 peratus dan sebuah lagi 80 peratus.

"Kebakaran itu berjaya dikawal pada jam 12.28 tengah hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azizul Hakim berkata, pasangan suami isteri warga emas dan wanita pembantu rumah berusia 44 tahun itu diberi rawatan awal oleh EMRS.

Beliau berkata, mereka berjaya menyelamatkan diri keluar dari rumah berkenaan ketika kebakaran berlaku.

Disiarkan pada: February 27, 2024 @ 3:16pm
d