mutakhir

19,026 rakyat Malaysia lahir pada tahun lompat

Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Seramai 19,026 rakyat Malaysia dianggap bertuah dan unik berikutan mereka menyambut ulang tahun kelahiran empat tahun sekali pada tahun lompat.

Menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), jumlah itu direkodkan Malaysia sejak tahun 1912 hingga 2020.

"Individu berusia 51 tahun ke atas paling ramai lahir pada 29 Februari dengan data direkodkan seramai 4,465 orang.

"Individu berusia 31 hingga 40 tahun pula menduduki tangga kedua dengan 3,827 orang lahir pada tarikh itu diikuti 3,624 individu berusia 11 hingga 20 tahun.

"Seterusnya seramai 2,836 individu berusia 21 hingga 30 tahun lahir pada tahun lompat diikuti 2,353 individu berusia setahun hingga 10 tahun serta 1,921 individu berusia 41 hingga 50 tahun," katanya dalam kenyataan bertulis kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Dari segi pengiraan umur, JPN berkata, individu yang lahir 29 Februari akan dikira peningkatan umurnya pada tarikh 1 Mac pada tahun biasa.

Pada masa sama, katanya, tiada pengecualian proses atau dokumen bagi individu yang lahir pada tahun lompat untuk sebarang urusan di JPN.

"Bagaimanapun bagi urusan di mana-mana agensi selain JPN, ia tertakluk kepada prosedur agensi terbabit," katanya.

Disiarkan pada: February 29, 2024 @ 12:30pm
d