mutakhir

Nama Pasar Kedai Payang kekal - Ahmad Samsuri

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri tidak berhasrat mengkomersialkan nama Pasar Kedai Payang kepada nama yang lain sebaliknya mahu menjadikannya sebagai pasar utama bagi Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, nama pasar itu sudah begitu sinonim dengan Terengganu yang menjadi syurga buat pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

Beliau berkata, ia juga mempunyai susur galur sejarah, budaya dan resam yang unik serta dekat di hati rakyat Terengganu.

"Kita nak menjadikan Pasar Kedai Payang sebagai pasar utama di Terengganu tapi dalam Bahasa Inggerisnya adalah "The Central Of Market" bukan Central Market macam di Kuala Lumpur

"Tentulah selain daripada tempat untuk menjual barangan, pameran , tempat aktiviti sosial dan masyarakat, pelancongan serta kebudayaan, ia akan berpusat di Pasar Kedai Payang.

"Jadi saya rasa daripada segi nama tidak timbul perubahan apa-apa (cuma) caranya sekarang ini ialah bagaimana kitanak mengisi Pasar Kedai Payang itu supaya ia menjadi pusat tumpuan kepada masyarakat dalam dan luar Terengganu serta antarabangsa

"Itu yang paling penting dan kita boleh bekerjasama dengan kerajaan pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Pelancongan dan sebagainya ," katanya ketika ditemui di Marang di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya bersikap terbuka dengan keputusan kerajaan negeri Terengganu berhubung isu Pasar Kedai Payang.

"Saya bersikap terbuka atas keputusan kerajaan negeri Terengganu untuk kekalkan nama Pasar Payang.

"Saya tiada masalah untuk menerima keputusan ini walaupun ia adalah projek kerajaan Persekutuan berharga RM70 juta.

"Niat saya baik, jangan ada yang cuba cerca mencerca, ini bukan budaya Malaysia Madani," katanya menerusi perkongsian di akaun X.

Kor Ming sebelum ini mencadangkan supaya Pasar Kedai Payang dijadikan Central Market Terengganu sebagai hub untuk kesenian, kraf tangan, kebudayaan dan pelancongan.

Projek pembangunan semula Pasar Payang yang berusia lebih 50 tahun adalahprojek pembangunan semula pasar di atas tapak sedia ada membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM70.03 juta.

Fasa pertama projek ini bermula dengan pembinaan pasar sementara dikenali sebagai Pasar Payang 2 yang terletak kira-kira 80 meter dari tapak asal yang siap dibina pada Mei 2019 manakala Pasar Payang 1 yang dibina pada Ogos 2019 siap sepenuhnya pada 19 Julai 2023.

tamat

Disiarkan pada: March 1, 2024 @ 1:06pm
d