mutakhir

Jika untuk tontonan ramai, tinggalkanlah trend merugikan

Oleh Saadiah Ismail

Kuala Lumpur: Jemaah haji mahupun umrah dinasihatkan supaya tidak berebut-rebut untuk merakam video dan gambar mencium Hajar Aswad jika hanya sekadar trend untuk meraih tontonan ramai.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ibadah suci dan mulia itu agak janggal apabila dirosakkan dengan cara sedemikian yang disifatkan tidak kena pada masanya.

Menurutnya, beliau melihat perkembangan mutakhir ini apabila ramai yang memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau Hajar Aswad di media sosial.

"Jika ia hanya sekadar trend untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah trend yang merugikan itu.

"Sewajarnya di hadapan Baitullah, kita fikirkan dosa kita, keampunan daripada Allah termasuk doa-doa kepada-Nya.

"Dengan itu saja pun kita sudah cukup sibuk tanpa sempat memikirkan peluang untuk mencipta sebarang kandungan di media sosial," katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, tular video pempengaruh media sosial, Hafiz Mahamad yang terpaksa bersesak-sesak dan menarik kumpulan jemaah terdiri daripada kakitangannya untuk mencium Hajar Aswad.

Rakaman video yang diambil oleh kakitangannya turut memperlihatkan beberapa kakitangan wanita termasuk isterinya hampir 'lemas' kerana terpaksa bertolak-tolak antara jemaah lelaki yang turut berebut.

Zulkifli berkata, jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain atau membahayakan, maka hukum mencium Hajar Aswad adalah haram.

"Cukup sekadar berisyarat dengan lambaian tangan dan mencium tangan, sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari.

"Tawaf adalah satu ibadah, sebagaimana mencium Hajar Aswad juga adalah ibadah. Beza kedua-duanya adalah, tawaf itu wajib dan mencium Hajar Aswad adalah sunat.

"Bahkan di sisi ulama Syafi'iyyah, hukum asal bagi wanita adalah tidak disunatkan bagi mereka mencium Hajar Aswad kecuali keadaan di mataf agak lengang," katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2024 @ 11:55am
d