mutakhir

Lelaki meninggal dunia ketika turun dari puncak Gunung Baling

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Baling: Seorang lelaki meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika dalam perjalanan turun dari puncak Gunung Baling di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.13 tengah hari.

Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengarahkan jentera BBP Baling ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan.

Katanya, pasukan diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Osman Awang Besar tiba di lokasi tidak lama kemudian mendapati mangsa berusia 39 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri di ketinggian 200 meter dari aras laut.

"Mangsa didapati tidak sedarkan diri ketika melakukan pendakian gunung bersama rakan dan anggota bomba melakukan pendakian ke lokasi mangsa berada.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi," katanya di sini hari ini.

Mohd Jamil berkata, operasi membawa turun mayat sedang dijalankan.

Disiarkan pada: March 5, 2024 @ 3:31pm
d