mutakhir

Bayi 3 bulan maut hari pertama di pusat asuhan

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan ditemukan tidak sedarkan diri semasa berada di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Setia Alam, di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa mangsa jam 2.31 petang, pada hari berkenaan.

"Siasatan mendapati, mangsa dihantar kali pertama oleh bapanya ke pusat asuhan itu pada jam 8.30 pagi hari berkenaan.

"Pada jam 10.30 pagi, bapa mangsa dimaklumkan oleh pengurus pusat asuhan mengatakan bayi berkenaan tidak sedarkan diri.

"Mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia selepas usaha menyelamatkan mangsa dijalankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, bedah siasat dijalankan pada jam 12.30 tengahari hingga 5 petang di Unit Forensik Hospital Shah Alam semalam.

"Keputusan bedah siasat adalah 'pending laboratory investigation'. Pemeriksaan ke atas mangsa juga dapati tiada mempunyai sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan jika disabitkan kesalahan boleh di denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, kenyataan pengasuh dan pekerja pusat asuhan sudah diambil.

"Bagi ibu bapa mangsa, kenyataan akan diambil selepas urusan pengebumian mangsa di Kelantan," katanya.

Menurutnya, individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini bolehlah menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Naqiuddin Nawawi di talian 011-21112824.

Disiarkan pada: March 6, 2024 @ 6:47pm
d