mutakhir

Bayar balik pinjaman pendidikan perbaiki skor kredit, tahap kewangan

Oleh Muhamad Shaifullah Tayep

PINJAMAN pendidikan memainkan peranan penting bagi membolehkan pelajar melanjutkan pengajian melalui akses pendidikan serta meningkatkan peluang kerjaya untuk masa depan.

Mengambil pinjaman pendidikan bukan sahaja membuka pintu kerjaya malah menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan peribadi serta profesional individu.

Membayar balik pinjaman pendidikan bukan sahaja melindungi kredit dan kestabilan kewangan, tetapi menyumbang kepada kemampanan sistem pendidikan.

Eksekutif pentadbiran, Noraishah Ahmad, 38, berpendapat peminjam perlu membayar balik pinjaman pendidikan mengikut tempoh masa yang ditetapkan kerana membuat akuan semasa menandatangani perjanjian dan bertanggungjawab sepenuhnya.

Beliau yang menyelesaikan semua baki pinjaman mengambil keputusan itu bagi mengelakkan dirinya terbeban dengan masalah lain sekiranya tidak mengikut apa yang dipersetujui.

"Pentingnya membayar hutang mengikut jadual kerana pengurusan kewangan kita akan lebih teratur.

"Sekiranya tidak membayar mengikut jadual, kita terpaksa menyelesaikan baki tertunggak dengan nilai lebih besar pada bulan berikutnya.

"Bagi saya itu lebih memeningkan kepala untuk menampung lebihan bayaran nanti dan juga akan menjejaskan skor kredit," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Beliau juga bersetuju bahawa membuat bayaran balik pinjaman pendidikan akan memberi kesan kepada skor kredit dan tahap kewangan.

"Sekiranya skor kredit tidak memuaskan, akan memberi sedikit masalah sekiranya kita mahu membuat pinjaman kredit daripada bank atau institusi kewangan lain," katanya.

Penolong pengurus, Mohamad Hafiy Mazlan, 32, turut bersetuju bayaran balik pinjaman pendidikan perlu dilakukan segera bagi mengelakkan tunggakan dan menghasilkan rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) yang baik.

Ini kerana, rekod CCRIS akan direkodkan di Bank Negara Malaysia bagi setiap pinjaman yang dibuat.

"Buat bayaran pinjaman pendidikan bagi menunjukkan kekukuhan dan komitment peminjam untuk membayar semula kerana agensi kewangan lain juga boleh menyemak rekod peminjam di situ bagi tujuan rujukan dan semakan.

"Penting untuk mengekalkan rekod CCRIS dan CTOS yang baik kerana ia sangat berkait rapat di antara peminjam dengan agensi kewangan lain.

"Bank akan menyemak rekod CTOS dan CCRIS untuk setiap pinjaman yang dipohon terlebih dahulu sebelum meluluskannya," katanya.

Beliau berkata, biarpun peminjam berdepan masalah seperti kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil, tanggungjawab peminjam untuk berunding dengan pihak penyedia pinjaman pendidikan perlu bagi melakukan penangguhan bayaran balik atau penstrukturan semula pinjaman.

"Segera berjumpa dengan pegawai PTPTN bagi mendapatkan nasihat dan penyelesaian masalah untuk pembayaran balik pinjaman," katanya.

Kerani pentadbiran, Johhny Chew, 31, turut berpendapat membuat bayaran balik pinjaman pendidikan adalah kewajipan peminjam, bukan menunggu waktu disenarai hitam oleh penyedia institusi kewangan.

"Hanya buat potongan gaji atau debit terus berjadual setiap bulan, peminjam dapat menikmati diskaun 15 peratus yang mudah dan menjimatkan masa.

"Bertindak sebagai peminjam yang bertanggungjawab hari ini dan perbaiki skor kredit dan tahap kewangan peribadi," katanya.

Rebut peluang untuk membayar balik pinjaman pendidikan PTPTN hari ini dan nikmati insentif diskaun bayaran balik pinjaman seperti yang diumumkan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika Pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023.

Sebanyak tiga kategori insentif ditawarkan yang sah sehingga 31 Mac 2024 seperti:

  1. Diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;
  2. Diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan
  3. Diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.

Menariknya, semua peminjam termasuk yang dikenakan tindakan penguatkuasaan layak menikmati insentif ini.

Peminjam yang hendak membuat penyelesaian penuh pinjaman atau bayaran balik sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang pinjaman dalam sekali bayaran perlu memohon pengesahan baki pinjaman sama ada melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my, aplikasi myPTPTN atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN sebelum membuat bayaran balik melalui saluran bayaran yang disediakan.

Peminjam yang sedang membuat bayaran melalui saluran potongan gaji atau debit terus layak menikmati diskaun 15 peratus ini secara automatik tertakluk bayaran diterima oleh PTPTN dalam tempoh diskaun.

Manakala, peminjam yang ingin membuat potongan gaji atau debit terus (direct debit) hendaklah membuat permohonan melalui portal rasmi PTPTN atau aplikasi myPTPTN.

Untuk maklumat lanjut, peminjam boleh melayari laman web Soalan Lazim Belanjawan 2024 di portal rasmi PTPTN.

Disiarkan pada: March 7, 2024 @ 10:49am
d