mutakhir

Tolak gula: Perkeso cakna kesihatan pencarum

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, daripada seramai 175,526 pekerja di Malaysia yang menjalani saringan kesihatan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebanyak 59.59 peratus dikesan memiliki masalah berkaitan kolesterol tinggi (hypercholesterolemia).

Manakala sebanyak 23.52 peratus bergelut dengan isu berat badan berlebihan atau obesiti 20.45 peratus berdepan dengan darah tinggi (hypertension) dan 19.91 peratus lagi menghidap penyakit kencing manis (diabetes).

Steven Sim berkata, saringan kesihatan itu dilakukan sepanjang 2023 hingga Februari lalu terhadap pekerja berusia 40 tahun keatas.

Katanya, Perkeso mula memperkenalkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pencarum bermula 2013 lalu dengan sembilan peratus dikesan mempunyai masalah diabetik.

"Namun dalam tempoh 10 tahun kemudian, jumlah itu meningkat sehingga 20 peratus menerusi saringan yang dilakukan tahun lalu dan ia menunjukkan peningkatan mendadak dengan perbelanjaan Perkeso bagi kes dialisis antara RM20 juta hingga RM30 juta setiap tahun.

"Dalam aspek ini, keselamatan dan kesihatan perlu dititik berat kerana tenaga kerja yang sihat, selamat dan selesa antara penggerak dan menjana ekonomi negara," katanya kepada media.

Terdahulu, Steven ditemui di Program Pekerja Sihat dan Selamat anjuran Perkeso di Jabil Malaysia dan hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Sri Subahan Kamal serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Program berkenaan adalah inisiatif bagi menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan pekerja di Malaysia yang bukan sahaja memberi kesan kepada individu serta majikan tetapi kepada produktiviti negara secara keseluruhan.

Mengulas lanjut Steven Sim berkata, Perkeso turut diberi mandat bagi menubuhkan satu pusat dialisis di setiap negeri di seluruh Malaysia dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata, pihaknya sudah menyediakan peruntukan sebanyak RM24 juta bagi pelaksanaannya sebagai inisiatif kepada pencarum mendapatkan rawatan secara percuma.

"Kita sudah ada empat Pusat Dialisis Perkeso di Malaysia iaitu Klang dan Shah Alam di Selangor serta Keluang dan Batu Pahat di Johor, manakala seterusnya dijangka dibuka di Kuala Lumpur pada April atau Mei ini.

"Sehingga kini, jumlah orang berinsurans (OB) yang ditanggung Perkeso adalah seramai 17,340."Kita juga menyasarkan bagi melakukan saringan kesihatan percuma kepada 100,000 pencarum berusia 40 tahun ke atas dan ia boleh dilakukan di klinik panel terdekat atau jerayawara," katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2024 @ 10:58am
d