mutakhir

Juruwang hamil ditumbuk, polis tunggu arahan DPP

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Polis masih menunggu arahan dari timbalan pendakwa raya (DPP) untuk meneruskan siasatan terhadap kes seorang juruwang hamil yang dipercayai ditumbuk pelanggan wanita.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan mengikut Seksyen 323 kanun keseksaan perlu mendapat arahan menyiasat dari DPP.

"Itu adalah undang-undang, penahanan bagi siasatan bawah seksyen terbabit perlu mendapat arahan menyiasat dari DDP terlebih dahulu.

"Semasa membuat laporan polis, mangsa menerangkan pembatalan barang pembelian perlu menunggu sebentar kerana 'item' sudah masuk ke dalam sistem dan perlukan pengesahan penyelia sebelum pembatalan pembelian terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Raub menyatakan pergaduhan antara juruwang berusia 25 tahun di kaunter sebuah premis perniagaan dengan seorang pelanggan wanita berusia 45 tahun, dipercayai berpunca kerana rasa tidak puas hati suspek yang mendakwa menunggu terlalu lama.

Kejadian berlaku pada 3.17 petang Sabtu dan mangsa membuat laporan pada 6.32 petang hari yang sama, mendakwa mengalami kecederaan sakit dan bengkak di bahagian bawah mata akibat ditumbuk oleh suspek.

Dalam video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi satu minit lima saat memaparkan kejadian perselisihan faham dua orang wanita.

Video berkenaan turut memperlihatkan tindakan seorang pelanggan wanita yang dilihat menumbuk muka juruwang terbabit ketika mengambil resit selepas pembayaran dibuat.

Disiarkan pada: March 12, 2024 @ 3:25pm
d