mutakhir

Saya insaf selepas hampir mati dibelit sawa

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: "Saya tidak serik bekerja di negara ini. Namun saya akan menggunakan laluan yang sah dan mengikut peraturan ditetapkan kerajaan. Pengalaman ngeri hampir dibelit ular sawa ketika bersembunyi di dalam hutan kerana bimbang ditahan Jabatan Imigresen tidak mudah dilupakan," ujar warga negara Indonesia, Joni Candar Wika, 30.

Joni dan dua lagi rakannya iaitu Amsyar Jaya, 31, serta Kaspiarman, 46, antara kira-kira 150 warga asing yang ditemui ketika sedang menunggu giliran mendapatkan dokumen melalui Program Repatriasi Migran, di bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri, di sini, tadi.

Joni mengaku masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong namun berkerja di sebuah projek perladangan di daerah Hulu Terengganu sejak tiga tahun lalu.

Katanya, dia dan rakannya akan bersembunyi di hutan berhampiran kawasan ladang apabila mendapat maklumat operasi bakal diadakan JIM negeri.

"Kami tidak boleh memberi tumpuan 100 peratus ketika bekerja kerana bimbang ditahan JIM.

"Kami akui JIM sering mengadakan operasi, sebab itu kami mengambil langkah awal bagi mengelakkan ditangkap iaitu bermalam dalam hutan," katanya.

Amsar menjelaskan, majikannya sanggup membayar tiket penerbangan selain membayar denda bagi membolehkan mereka pulang ke kampung melalui program pengampunan.

"Majikan sudah berjanji akan mengambil kami berkerja semula dan bersetuju memohon permit kerja secara sah jika kami kembali semula ke sini," katanya.

Kaspiarman mengesahkan mendapat layanan baik oleh pegawai JIM negeri ketika memohon pulang ke negara asal tanpa dikenakan tindakan.

Disiarkan pada: March 13, 2024 @ 3:27pm
d