mutakhir

Kebakaran Bukit Broga sudah padam

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Semenyih: Kawasan hutan di tapak rekreasi popular Bukit Broga, di sini, yang terbakar malam tadi, padam sepenuhnya, awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, kebakaran itu membabitkan kawasan puncak bukit berkenaan seluas 0.8 hektar.

"Seramai 64 orang terbabit dalam operasi ini terdiri daripada 17 anggota bersama tiga jentera dari Zon 4 Selangor (Hulu Langat), Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih, Bangi serta Ampang selain agensi lain termasuk pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Kebakaran itu mudah merebak ke beberapa tompok-tompok api disebabkan tiupan angin di sekitar bukit berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Md Razali berkata, pihaknya berdepan beberapa kesukaran semasa memadamkan api termasuk tiada akses kenderaan untuk ke lokasi kebakaran.

"Seramai 28 pegawai dan anggota memanjat ke puncak bukit yang mengambil masa kira-kira 30 minit hingga 45 minit bagi menghampiri lokasi kebakaran.

"Pemadaman dijalankan dengan menggunakan 'fire beater' berikutan ketiadaan sumber air.

"Tindakan operasi yang diambil adalah untuk menyekat api terus merebak di sekitar bukit dengan lokasi kebakaran dipecahkan kepada tiga sektor iaitu di kawasan puncak satu, dua dan tiga," katanya.

Beliau berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 2.30 pagi sebelum operasi ditutup jam 3.30 pagi.

"Turut berada di lokasi kejadian adalah Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dan Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Mohd Jusni Hashim," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kawasan hutan di tapak rekreasi popular Bukit Broga, terbakar malam tadi.

Disiarkan pada: March 18, 2024 @ 7:51am
d