mutakhir

Isu KK Mart: boikot boleh beri kesan besar pada produk, syarikat jadi sasaran - Penyelidik

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: "Saya berpandangan, pengguna terutama masyarakat Islam sudah belajar bahawa boikot memberi kesan besar terhadap produk serta syarikat yang diboikot".

Itu pandangan Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Prof Dr Azmi Hassan berkaitan isu stoking tertera kalimah 'Allah' yang dijual di kedai serbaneka, KK Mart dan boikot terhadap rangkaian kedai serbaneka itu sebagai tindak balas.

Beliau berkata, jika pengurusan KK Mart terlepas pandang berkaitan kawalan kualiti (QC) mengenai barangan dijual, ia boleh dimaafkan memandangkan kakitangan dalam pengurusannya juga ada yang beragama Islam.

"Tetapi, jika disengajakan, maka tindak balas dengan memboikot pasar raya itu tidak boleh diketepikan dan pada masa sama, pihak berkuasa juga perlu melakukan siasatan.

"Saya rasa, pihak berkuasa boleh tahu siapa yang mengeluarkan stoking itu, dapatkan punca mengapa ia dilakukan kerana apa yang berlaku dilihat sebagai sengaja," katanya.

Sementara itu, peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Dr Noorfajri Ismail berkata, bagi mencegah perkara sama seperti penghinaan terhadap kesucian agama Islam berulang, maka perlu penguatkuasaan yang lebih tegas.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bukan sahaja perlu melakukan tindakan rampas dan sita.

"Malah, ⁠KPDN perlu pinda undang-undangnya. Tahan pemilik dan nyah senarai syarikat kerana jelas ia menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) dengan terang-terangan menghina agama Islam," katanya.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial berkaitan stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Rabu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu turut meminta masyarakat supaya tidak memboikot perniagaan mereka.

tamat

Disiarkan pada: March 18, 2024 @ 1:02pm
d