mutakhir

Polis temui lima pasang stoking kalimah Allah di kilang pengimport

Oleh Alias Abd Rani

Batu Pahat: Polis menemui lima pasang stoking tertera kalimah Allah dalam sebuah kilang yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Sri Gading, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 16 bungkusan stoking yang diimport dari China.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kelima-lima pasang stoking terbabit dipulangkan semula oleh premis KK Super Mart di Bandar Sunway, Selangor.

Katanya, stoking itu ditempah daripada sebuah syarikat di China dengan kilang berkenaan hanya terbabit dalam pembungkusan semula dan pengedaran untuk pasaran tempatan.

"Dalam 16 'bundle' (stoking) yang terdiri 18,800 pasang itu, polis tidak menemui stoking baru yang tertera kalimah itu, setakat ini.

"Polis membuka tiga kertas siasatan berhubung isu ini antaranya Seksyen 298 A dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Siasatan ini selari dengan siasatan dijalankan Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman," katanya pada sidang media selepas pemeriksaan ke atas kilang itu, hari ini.

Ismail berkata, pemeriksaan dijalankan susulan maklumat diterima menyatakan kilang itu terbabit dalam pengedaran stoking tertera kalimah Allah.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan pemeriksaan ke atas semua stoking diimport dari China dijangka selesai hari ini.

"Saya memohon semua pihak termasuk NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan individu supaya tidak mengambil tindakan menyalahi undang-undang seperti perhimpuan, 'flash mob' atau demonstrasi berkaitan dengan isu ini.

"Kami mohon semua pihak memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan, malah kami tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau NGO yang menyalahi undang-undang," katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2024 @ 12:49pm
d