mutakhir

Pekerja cedera, kenderaan milik majikan dilarikan penyamun

Oleh Ahmad Hasbi

Nilai: Seorang lelaki cedera di badan selepas terjatuh ketika bergayut di belakang kenderaan pacuan empat roda milik majikannya yang dilarikan penyamun, hari ini.

Dalam kejadian jam 7 pagi, mangsa dikatakan sedang menyelenggara menara telekomunikasi di Taman Desa Melati, di sini, sebelum didatangi suspek.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pada jam 7.35 pagi, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki berumur 40-an mengenai kejadian itu.

"Ketika mangsa sedang melakukan kerja, dia didatangi sebuah Mitsubishi Triton model lama berwarna hitam dan diparkir bersebelahan kenderaan milik majikan pengadu.

"Suspek dipercayai dua lelaki tempatan terus masuk ke Mitsubishi Triton milik majikan pengadu dan membawa lari kenderaan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa sempat mengejar dan berpaut pada bahagian belakang kenderaan milik majikannya sejauh kira-kira 10 meter.

"Mangsa kemudian terjatuh ke jalan berhampiran sebuah stesen minyak dan mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan.

"Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup mendapati nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek adalah palsu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya ke Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di talian 06–7904389," katanya.

- tamat

Disiarkan pada: March 19, 2024 @ 3:32pm
d