mutakhir

Lelaki cuba samun maut dilanggar kereta mangsa

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Akibat ketakutan melihat tiga lelaki yang cuba menyamun dan memukul cermin keretanya, seorang lelaki nekad memecut keretanya sebelum melanggar seorang daripada suspek sehingga maut.

Kejadian dipercayai berlaku di hadapan farmasi di Kuala Kedah jam 6.39 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian berlaku apabila mangsa berada di hadapan farmasi berkenaan dengan menaiki keretanya.

Beliau berkata, namun pengadu ketika itu cuba disamun tiga lelaki terbabit yang menaiki dua motosikal di kawasan itu.

"Salah seorang suspek bertindak memukul cermin kereta pengadu di bahagian hadapan menggunakan objek sehingga pecah.

"Disebabkan takut, pengadu terus memecut keretanya dan sewaktu cuba melepaskan diri, mangsa bertindak melanggar salah satu motosikal suspek yang cuba menghalang di bahagian hadapan.

"Suspek berusia 29 tahun dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya kemudian melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, usaha untuk mengesan saksi dan suspek yang berjaya melarikan diri sedang giat dijalankan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Beliau berkata, untuk tujuan penyiasatan, dua kertas siasatan dibuka serentak iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap pengadu (mangsa) dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan terhadap dua suspek yang masih bebas.

Disiarkan pada: March 19, 2024 @ 6:22pm
d