mutakhir

Penjelasan kekeliruan warna jingga bata dalam berpakaian

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Tidak salah jika mengenakan pakaian berwarna jingga bata atau orange brick dengan syarat pemakainya menutup aurat, tidak menyamai imej orang kafir dan lelaki tidak cuba menyerupai wanita.

Pensyarah Kanan Pusat Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Prof Madya Dr Mahyuddin Ismail berkata, dalam Islam, hukum memakai pakaian berwarna itu adalah harus, termasuk jika memakainya pada Aidilfitri.

Justeru katanya, perkongsian tular mengenai larangan memakai pakaian berwarna itu boleh dianggap mengelirukan.

"Memang ada hadis menyebut mengenai khilaf pemakaian pakaian warna kuning dan jingga yang proses buatannya dengan mencelup dalam pewarna saffron serta usfur (tumbuhan).

"Larangan itu kerana dulu, warna berkenaan digunakan wanita sebagai perhiasan.

"Itu sebabnya lelaki dilarang pakai, tetapi sekarang tiada kerana pakaian pun sudah diperbuat dengan pewarna sintetik jadi tiada masalah," katanya ketika dihubungi bagi menjelaskan kekeliruan orang ramai mengenai hukum penggunaan pakaian warna jingga bata.

Ia susulan satu perkongsian di media sosial yang tular mengenai larangan orang ramai untuk memakai pakaian berwarna itu pada raya tahun ini, malah disertakan keterangan 'Sayang nabi kita? Elak pakai warna ini'.

Mengulas lanjut, Mahyuddin berkata, hukum harus bagaimanapun tidak terpakai, malah jatuh haram jika seseorang memakai pakaian dengan niat dan perbuatan yang jelas bertentangan dengan fahaman Islam.

"Misalnya jika memakai baju warna pelangi untuk berkumpul dan tunjuk sokongan terhadap komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Contoh lain adalah memakai warna jambu sekalipun dengan niat menyambut Hari Kekasih yang diharamkan dalam Islam," katanya.

Berhubung perkongsian hukum yang tular dan menimbulkan salah faham dalam kalangan warganet, Mahyuddin meminta orang ramai supaya berhati-hati sebelum berkongsi atau mempercayai sesuatu maklumat.

Katanya, konsep tabayyun iaitu menyemak atau memeriksa sebelum sebar perlu diamalkan.

"Jika dapat maklumat mengenai hukum atau persoalan agama, rujuk dulu dengan yang lebih arif supaya tidak salah faham dan menimbulkan fitnah, jika menyebarkannya kepada orang lain.

"Sesungguhnya, fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh dan sekarang terlalu banyak fitnah, maka penting untuk tabayyun," katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2024 @ 5:04pm
d