mutakhir

JSPT gerak 200 pegawai, anggota ke 142 lokasi hotspot atasi kesesakan lalu lintas

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengerakkan 200 pegawai dan anggota di 142 lokasi hotspot di sekitar ibu negara sepanjang Ramadan.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, penugasan pegawai dan anggota itu bagi menangani kesesakan lalu lintas.

Menurutnya, kehadiran pegawai dan anggota JSPT bagi memberi pertolongan dan kerjasama kepada orang ramai selain melancarkan aliran trafik pada waktu puncak.

"Saya mengambil kesempatan ini bagi menasihati orang ramai supaya mengawal emosi, bersabar dan jangan ambil tindakan melulu sekiranya berada dalam kesesakan jalan raya.

"JSPT akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai termasuk melancarkan Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Ia bagi memudahkan pergerakan balik kampung dengan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) supaya premis atau kediaman yang ditinggalkan dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika turun di lapangan bagi menyantuni pegawai serta anggota trafik dan orang awam di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob dan Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh.

Mohd Azman turut mengingatkan supaya orang ramai tidak membuat halangan trafik dengan meletakkan kenderaan di bahu jalan.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, dianggarkan 1.2 juta kenderaan setiap hari masuk ke ibu negara dan kira-kira 800,000 pada hari minggu sepanjang Ramadan.

"Sepanjang bulan Ramadan, JSPT menjangkakan kesesakan kerana ramai pengguna jalan raya mengambil kesempatan pulang awal ke rumah dengan pelepasan diberi majikan," katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2024 @ 10:57pm
d