mutakhir

Demi Muhammad Adam

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: "Tahun ni saya dah tak fikir sangat persiapan untuk menyambut Aidilfitri kerana wang simpanan sudah berkurangan untuk menampung kos rawatan anak saya, Muhammad Adam yang menghidap leukimia sejak Julai tahun lalu," kata Mohd Nizam Ishak.

Mohd Nizam, 34, berkata, dia dan isterinya, Faizah Ishak, 36, mempunyai empat anak yang kesemuanya lelaki berusia empat bulan hingga 15 tahun dan Muhammad Adam pula dilahirkan kembar.

Bagaimanapun, katanya, kembarnya, Muhammad Adib sihat sepenuhnya tetapi hanya Muhammad Adam yang menghidap kanser.

Katanya, Muhammad Adam disahkan menghidap penyakit itu selepas mengalami demam yang kerap selain mengalami sakit sendi di seluruh badan serta tempang.

"Ketika itu, dia sering menangis kerana sakit dan bengkak pada jari kiri hinggakan mahu pakai baju pun sakit menyebabkan kami terpaksa membawanya ke klinik kesihatan berhampiran bagi mendapatkan rawatan.

"Doktor mengesyaki dia menghidap kanser dan meminta saya membawa anak menjalani rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

"Selepas doktor mengambil sampel darah, memang anak saya disahkan menghidap masalah darah dan saya reda dengan ketentuan Allah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pengkalan Keriang, Mukim Lepai, Langgar di sini.

Mohd Nizam yang bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai alat ganti kereta di Pokok Sena berkata, sejak itulah dia terpaksa berulang ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk membawa anaknya menjalani rawatan di sana.

Katanya, ketika itu pula, isterinya sedang hamil anak keempat mereka menyebabkan dia terpaksa meminta bantuan keluarga mentua untuk menjaga isteri dan anak-anaknya.

"Saya tinggal di HPP menjaga Muhammad Adam ketika dalam wad sehingga mengambil masa lebih sebulan sehinggakan saya terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

"Bimbang dibuang kerja, saya merayu kepada majikan supaya membenarkan saya bercuti tanpa gaji asalkan saya dapat membawa anak menjalani rawatan.

"Disebabkan itulah wang simpanan saya makin berkurangan kerana digunakan untuk kos ulang alik selain sepanjang berada di sana (HPP) memandangkan isteri tidak bekerja dan mempunyai tiga lagi anak termasuk bayi yang baru bersalin," katanya.

Menurut Mohd Nizam, kos bayaran di hospital juga masih tertunggak kerana dia hanya mampu membayar secara ansuran disebabkan tiada sumber kewangan.

Katanya, dia kuatkan diri demi anak walaupun tertekan dengan masalah kewangan asalkan anaknya sihat seperti sedia-kala.

"Sejak sakit, keadaan emosi Muhammad Adam juga berbeza kerana sekarang dia lebih agresif dan sering memberontak apabila permintaannya tidak dipenuhi," katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2024 @ 11:21am
d