mutakhir

Kondominium diserbu, 59 Pati kena tahan

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Seramai 59 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kondominium di Jalan Medan Putra 6, Kepong di sini tengah malam tadi.

Operasi 12 tengah malam itu dijalankan oleh 33 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur selepas mengenal pasti 22 unit kediaman yang didiami Pati.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, ia susulan daripada risikan oleh pihaknya selama dua minggu selepas menerima aduan awam.

"Kami membuat tangkapan 59 Pati kerana didapati melanggar Seksyen 15 (1)(C) (tinggal lebih masa), dan Seksyen 6(1)(C) (tiada dokumen) Akta Imigresen 1959/63.

"Pati ditahan terdiri daripada dua wanita Indonesia, lelaki Bangladesh (sembilan), wanita Vietnam (satu), lelaki Nepal (dua), lelaki India (10) dan warga Myanmar iaitu 19 wanita dan 16 lelaki," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lokasi selepas selesai operasi kira-kira 1.30 pagi di sini, hari ini.

Wan Mohammed Saupee berkata, selain tangkapan Pati pihaknya turut mengeluarkan 25 saman kepada pemilik atau penghuni warga tempatan yang berada di dalam premis terbabit kerana melindungi Pati mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

"Saya mengingatkan kepada pemilik rumah bahawa membenarkan Pati untuk menyewa adalah satu kesalahan undang-undang.

"Jadi, setiap pemilik rumah perlu memastikan penyewa mempunyai dokumen yang sah dan jika ada sebarang keraguan boleh berhubung dengan pihak JIM Kuala Lumpur," katanya.

Dalam pada itu beliau menasihatkan Pati yang masih bebas supaya mengambil peluang untuk pulang menerusi Program Repatriasi Migran (PRM) yang ditawarkan pihak JIM.

Katanya, menerusi program itu Pati terbabit hanya perlu membeli tiket pulang ke negara asal dan hadir ke pejabat JIM bagi membayar kompaun RM300 atau RM500 bergantung kepada jenis kesalahan.

"Kita sudah ada program yang memberi peluang kepada Pati untuk pulang ke negara asal dengan hanya membayar dengan denda saya seru Pati di luar sana supaya ambil peluang ini.

"Pati terbabit boleh pulang ke negara asal tanpa dikenakan tindakan (mahkamah) hanya perlu membayar denda," katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2024 @ 8:23am
d