mutakhir

'Kami selamanya terhutang budi kepada Allahyarham'

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Mohd Fuad Yaacob yang aktif memperjuangkan hak pesawah meninggal dunia petang semalam.

Isteri Allahyarham, Che Gayah Rejab, 61, berkata, Mohd Fuad, 70, meninggal dunia jam 4.15 petang ketika menunggu giliran untuk berjumpa doktor di sebuah klinik swasta di Sungai Petani.

"Beberapa hari ini arwah tidak berapa sihat dan mengadu sakit dan kejang di betis, semalam kaki dia bengkak dan naik seperti gelembung, ketika dalam perjalanan ke Sungai Petani, dia hanya tidur dalam kereta.

"Apabila tiba gilirannya untuk berjumpa doktor, saya kejutkan dia dalam kereta tapi dia tak bangun, akhirnya saya panggil doktor dan disahkan sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, jenazah kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Che Gayah berkata, biarpun arwah suaminya seorang yang lantang dalam menyuarakan nasib pesawah, namun dia sangat menjaga tutur katanya.

Katanya, Allahyarham sanggup melakukan apa saja untuk membela nasib pesawah dan dia pernah menemani suaminya berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada 21 Februari lalu bagi mengutarakan masalah dan kebajikan pesawah.

"Arwah tak pernah cerita buruk mengenai sesiapa pun, apabila ada orang marah atau bercakap buruk mengenai dirinya, dia cuma akan cakap itu rezeki dia depan Allah.

"Saya reda dengan pemergiannya walaupun agak terkejut, Allah jemput dia pada hari Jumaat dan di bulan yang mulia," katanya.

Jenazah selamat dikebumikan pada jam 11.30 pagi ini di Masjid Al Maarif, Kampung Huma, mukim Padang Hang di sini.

Sementara itu, Exco PeSAWAH, Abdul Rashid Yob menyifatkan Mohd Fuad sebagai seorang pejuang sejati yang tidak pernah rasa takut atau pilih kasih apabila bersuara untuk pesawah.

"Sebagai ahli Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), beliau menggunakan platform itu dengan baik untuk memperjuangkan kebajikan pesawah semasa mesyuarat NAFAS (Pertubuhan Peladang Kebangsaan)," katanya.

Rashid berkata, Mohd Fuad turut memainkan peranan antara lain memohon kenaikan kadar subsidi hasil padi tahun lalu dan insentif RM600 sebelum musim menuai padi untuk pesawah.

"Kami akan selamanya terhutang budi kepadanya," katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2024 @ 12:42pm
d