mutakhir

Jenayah seksual meningkat di Perlis

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Kes jenayah seksual terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negeri ini meningkat sebanyak 30 peratus dalam tempoh empat tahun sejak 2019 lalu.

Malah, terdapat remaja seawal usia 13 dan 14 tahun sudah mengandung akibat terbabit dalam kes seksual berkenaan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya sering menerima laporan kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak termasuk amang seksual.

"Dari 2019 hingga tahun lalu, kita melihat peningkatan sebanyak 30 peratus kes jenayah seksual dan berdasarkan kajian kita, ia banyak dilaporkan berlaku di kawasan luar bandar.

"Antara perlakuan jenayah seksual dilaporkan seperti amang seksual, sumbang mahram, rogol dan rogol berkumpulan di mana kebanyakan mangsa terdiri daripada remaja dan ada juga kanak-kanak.

"Dalam hal ini, ada yang didapati hamil seawal usia 13 dan 14 tatkala mereka masih berada di bangku sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Peringatan Hari Polis Ke-217 Peringkat Kontinjen Perlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini, hari ini.

Katanya, siasatan yang dijalankan juga mendapati ada antara mangsa mengenali pelaku bermula di platform media sosial.

"Mangsa mula berkenalan dengan pelaku menerusi laman media sosial dan perbincangan seksual ini dimulakan dengan bersembang di laman maya terlebih dahulu.

"Ia kemudian dilanjutkan ke peringkat seterusnya sehingga mewujudkan hubungan seks secara fizikal dan terlanjur hamil

"Perkembangan membimbangkan ini mendorong kita mempergiatkan lagi usaha memberi kesedaran kepada masyarakat dalam menangani jenayah seksual berkenaan," katanya.

Katanya, ia termasuk bekerjasama dengan Jabatan Mufti Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs).

Terdahulu, Muhammad menyampaikan sijil kepada lebih 30 penerima termasuk 19 petugas media Perlis atas kerjasama menyampaikan berita terhadap usaha dan kejayaan polis di negeri ini.

Turut hadir, bekas Ketua Polis Perlis iaitu Datuk Surina Saad dan Datuk Zul Aznam Haron.

Disiarkan pada: March 25, 2024 @ 1:01pm
d