mutakhir

Amuk pecahkan cermin ambulans

Oleh BERNAMA

Sibu: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki memecahkan cermin ambulans milik Kementerian Kesihatan (KKM) dengan menggunakan parang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, lelaki berusia 43 tahun itu bertindak sedemikian di bengkel membaiki penyaman udara kenderaan di sini, kira-kira jam 12 tengah hari.

Beliau berkata pemilik bengkel itu kemudian membuat laporan polis kira-kira 20 minit kemudian sebelum sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu menangkap suspek pada jam 2 petang.

"Semasa ditahan polis merampas sebilah kerambit daripada tangan lelaki itu. Hasil pemeriksaan lanjut menemui parang di dalam kenderaan dipandunya," katanya tadi.

Zulkipli berkata, saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis Methamphetamine dan polis masih menyiasat punca dia bertindak sedemikian.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Disiarkan pada: March 26, 2024 @ 3:54pm
d