mutakhir

99 terpedaya, rugi cecah RM44.9 juta

Oleh Hakimi Suria Kencana

Kuala Lumpur: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menerima aduan daripada 99 mangsa yang terpedaya dengan syarikat pelaburan GigaMax sehingga kerugian mencecah RM44.9 juta.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, syarikat pelaburan terbabit didapati mempromosi pelaburan yang tidak sah.

"Mereka juga 'memancing' mangsa dengan mengatakan terdapat lebih 100,000 peserta dalam aplikasi itu.

"Mereka mendakwa mempunyai peserta bukan saja di Malaysia malah di rantau Asean seperti Vietnam, Myanmar, Laos, Singapura, dan Thailand," katanya pada sidang media semalam.

Menurutnya, pihaknya sudah membantu membawa mangsa membuat laporan polis yang mana ada kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan ada dirujuk ke agensi lain iaitu Bank Negara Malaysia (BNM).

"Pelaburan itu mula mengalami masalah apabila mereka tidak membenarkan pengguna mengeluarkan duit yang dilaburkan.

"Untuk keluarkan duit, mereka perlu menambah jumlah tertentu dan kemudian bertukar kepada satu platfom yang dipanggil sebagai TeraMax," katanya.

Beliau berkata, selepas itu mereka menjanjikan pelbagai alasan kepada pelabur termasuk membeli kad Visa.

Sementara itu, mangsa, Zainal Azim Amur, 68, berkata, dia terjerat dengan pelaburan itu kerana melihat kejayaan peserta yang mendapat keuntungan sebanyak RM25,000 seminggu.

"Saya juga diberitahu oleh syarikat bahawa akan diberikan tawaran satu peratus keuntungan pada setiap minggu, tetapi apabila ditunggu tiada apa hasil yang didapati," katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2024 @ 4:56pm
d