mutakhir

Pekerja kedai aluminium tak mengaku sebabkan kematian lelaki cuba merompaknya

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Seorang pekerja kedai aluminium mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas didakwa menyebabkan kematian seorang lelaki yang cuba merompaknya, minggu lalu.

Tertuduh Han Boon Hau, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Mohd Shazwan Idzauddin Ishak, 29, dengan melakukan satu perbuatan gopoh atau cuai sehingga menyebabkan kematian dengan salah di belakang bangunan BSN Kuala Kedah, pada jam 6.39 pagi, 19 Mac lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha, manakala tertuduh diwakili peguam, Lim Wei Yong.

Banusha kemudian memohon mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 ke atas tertuduh, namun peguamnya merayu jaminan minima dikenakan kerana tertuduh yang sudah berkahwin mengalami masalah kesihatan dan hanya berpendapatan RM1,200 sebulan.

Siti Norhidayah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke balai polis setiap bulan.

Boon Hau kemudian membayar jaminan yang dikenakan ke atasnya dan mahkamah menetapkan 19 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen pula, Mohd Shazwan Idzauddin bersama dua lagi tertuduh, Muhammad Zaki Zabani Osman, 28, dan Zazimi Hamid, 41, didakwa cuba merompak Boon Hau secara berkumpulan.

Bagaimanapun, Muhammad Zaki Zabani dan Zazimi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama cuba melakukan rompakan berkumpulan ke atas wang ringgit milik lelaki itu di hadapan sebuah farmasi di Kuala Kedah, pada jam 6.39 pagi, 19 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Tiada jaminan ditawarkan terhadap kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula.

Media pada 19 Mac lalu melaporkan, seorang lelaki yang ketakutan ketika cuba disamun tiga penjenayah, nekad memecut kenderaan untuk melarikan diri sebelum terlanggar seorang daripada mereka sehingga mati.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.39 pagi tadi ketika lelaki terbabit berada di dalam keretanya di hadapan sebuah farmasi di Kuala Kedah, sebelum tiba-tiba didatangi tiga suspek yang menaiki dua motosikal.

Disiarkan pada: March 27, 2024 @ 1:36pm
d