mutakhir

Telaga tiub UMS: 3 siap, 3 lagi akhir bulan ini

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Tiga daripada enam telaga tiub bagi menangani masalah air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sudah siap mengikut jadual ditetapkan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata tiga telaga tiub sudah berfungsi menyalurkan air ke kolej kediaman pelajar sejak 26 Mac lalu.

Katanya, baki tiga lagi telaga tiub yang dibiayai menggunakan dana RM3 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu dijangka siap dalam beberapa hari lagi.

"Saya dimaklumkan tiga telaga tiub sudah siap sepenuhnya, manakala yang lain dalam masa terdekat dan kita harap ini dapat menyelesaikan isu bekalan air di UMS.

"Tiga yang siap sepenuhnya itu maksudnya air dari telaga tiub terbabit sudah sampai kepada pelajar, manakala tiga lagi hanya paip ke asrama saja belum siap sepenuhnya.

"Sedikit masa saja lagi untuk menyiapkan sistem perpaipan. Jadi, ada sedikit kelewatan tapi kita pastikan ia siap sebelum akhir bulan ini," katanya ditemui pada program Ihya Ramadan di Politeknik Kota Kinabalu, di sini, malam tadi.

Beliau diminta mengulas perkembangan projek telaga tiub itu yang dimulakan pada Januari lalu selepas pelajar UMS mengadu menghadapi kesukaran menjalani rutin harian hingga tidak mandi berhari-hari disebabkan bekalan air yang terhad dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Selain enam telaga tiub yang dibiayai dengan peruntukan RM3 juta itu, ada dua lagi telaga tiub baharu turut dibina menggunakan peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi, selain satu sudah siap atas inisiatif UMS sendiri, menjadikan sembilan telaga tiub apabila semua siap sepenuhnya.

Sementara itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata program Ihya Ramadan bersama warga Politeknik Kota Kinabalu malam tadi turut disusuli dialog bersama pelajar untuk mereka mengemukakan pandangan, soalan dan masalah berkaitan politeknik.

"Kita mengadakan program bersama pelajar, mengagihkan makanan untuk iftar Ihya Ramadan dan kita juga mengagihkan sumbangan kepada pelajar asnaf terutama golongan B40 b40 bagi membantu mereka meringankan beban menjalani ibadah Ramadan dan menjelang raya.

"Selain itu, kita juga membuka ruang berdialog dengan pelajar untuk mendengar pandangan mereka atau persoalan berkaitan politeknik dan masalah yang mereka hadapi," katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2024 @ 10:44am
d