mutakhir

'Lebih sebulan sudah tiada hujan'

Oleh Izwan Abdullah

Papar: Kira-kira 150,000 penduduk di daerah ini berdepan masalah air yang kritikal, selain pencemaran udara disebabkan kebakaran hutan berikutan cuaca panas dan kering yang berpanjangan sejak lebih sebulan lalu.

Ketika ini, kebanyakan penduduk terpaksa bergantung kepada bekalan air bersih yang dihantar Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah yang digerakkan selepas Papar diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau sejak 13 Mac lalu.

Menerusi kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Papar, Mohd Fuad Abdullah, sebanyak 44 kampung, 37 sekolah, 19 taman perumahan dan lapan rumah ibadat membabitkan 150,000 penduduk di sekitar daerah ini terjejas akibat situasi itu.

Katanya, PKOB menyewa 11 lori untuk melaksanakan penghantaran bekalan air bersih di semua kawasan terbabit, selain dibantu 15 lori agensi kerajaan dan enam lori sukarelawan yang membabitkan 200 petugas dari 27 agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) juga meneruskan usahanya merawat air Sungai Papar di Kampung Mandalipau menerusi kaedah Water Sanitation and Hygine (WASH) untuk membekal air bersih kepada penduduk kampung," katanya.

Ahli Parlimen Papar yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali turut membantu menggerakkan operasi penghantaran air menerusi Pejabat Ahli Parlimen Papar kepada penduduk yang terjejas.

Masalah air di daerah ini berpunca daripada penutupan sebuah loji rawatan air (LRA) berkapasiti 10 juta liter sehari (MLD) yang membekal air bersih kepada penduduk daerah ini sejak lebih sebulan lalu, selain penurunan separuh kapasiti satu lagi LRA berkeupayaan 10 MLD disebabkan isu air mentah.

Ketiadaan hujan yang lama menyebabkan air Sungai Papar di kedua-dua muka sauk LRA terbabit, masing-masing LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau dan LRA Jetama Limbahau dimasuki air masin hingga mencecah lebih 4,000 miligram per liter (MGL) berbanding had maksimum 120 MGL yang boleh dirawat.

Penduduk Kampung Kimanis, Juniah Umpai, 70, berkata di sekitar kawasannya bekalan air paip terhenti sejak awal Februari lalu menyebabkan penduduk terpaksa mengambil air di Sungai Kimanis sebanyak 1,000 liter setiap hari, selain mengharapkan bantuan air yang dihantar dengan lori.

"Lebih sebulan sudah tiada hujan, air paip pun tiada, jadi kami hanya bergantung kepada air Sungai Kimanis selain yang dihantar dengan lori. Selain itu, kami juga terpaksa membeli air minuman dalam botol dengan kos kira-kira RM150 seminggu," katanya.

Pada masa yang sama, penduduk kampung turut bimbang terhadap peningkatan kebakaran hutan dan belukar berhampiran kawasan mereka, dikhuatiri merebak hingga ke kawasan kediaman, selain bau asap yang menyesakkan nafas.

Berdasarkan bacaan indeks pencemaran alam sekitar (API) dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), kadar pencemaran udara di sekitar Kimanis berada pada paras tidak sihat dengan bacaan melebihi 100 sejak beberapa hari lalu, menjadikannya kawasan paling terjejas di Sabah ketika ini.

Setakat ini, hanya daerah Papar diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau di Sabah disebabkan masalah air yang kritikal dihadapi hampir keseluruhan penduduk daerah ini, termasuk di kawasan Kimanis dan Kinarut.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia sudah memulakan operasi pembenihan awan yang menumpukan daerah ini dan Lahad Datu, selain Tawau bermula semalam hingga esok.

Disiarkan pada: March 29, 2024 @ 4:41pm
d