mutakhir

300 gelandangan dirai

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai 300 gelandangan diraikan dalam Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) NKMH Media bersama Pertubuhan Ad Deen untuk Rakan Jalanan di Warung Makanan Sahabat, Chow Kit, di sini, hari ini.

Pengarah Operasi NKMH Media Sdn Bhd Muhamad Hafiz Che Yahaya berkata, program tahunan itu dianjurkan menggunakan dana hasil sumbangan orang ramai.

"Program CSR ini bukan kali pertama dibuat dengan sebelum ini kita meraikan golongan asnaf dan anak yatim.

"Pada tahun ketujuh penganjuran program ini, kita memberi tumpuan kepada golongan gelandangan.

"Kita menyediakan 300 pek makanan kepada rakan jalanan yang bukan sahaja dalam kalangan orang Islam dan mualaf tetapi kaum India serta Cina," katanya ketika ditemui dalam program itu.

Muhamad Hafiz berkata, kebanyakan yang hadir menerima pek makanan itu adalah individu kategori miskin bandar.

"Ramai antara mereka ini bukan gelandangan yang tiada tempat tinggal tetapi mempunyai pekerjaan dan tempat tinggal.

"Cuma mereka ini hidup dalam keadaan daif dengan makanan tidak mencukupi terutama pada hujung bulan," katanya.

Selain program itu, katanya, pihaknya turut menjalankan beberapa program CSR lain termasuk wakaf kain kafan dan van jenazah.

"Kita juga ada memberikan sumbangan kepada orang lain yang terkesan dengan situasi semasa seperti banjir di Seksyen 24, Shah Alam, sebelum ini.

"Kita juga ada membantu golongan usahawan yang terkesan akibat penularan pandemik dengan memberikan konsultasi percuma serta strategi pemasaran," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Ad Deen Ustaz Khairul Sani berkata, golongan sasaran dalam program terbabit adalah gelandangan di sekitar Jalan Pahang, di sini.

"Bagaimanapun, ramai antara mereka (gelandangan) yang datang dari kawasan luar termasuk dari Bangi semata-mata untuk merasa makanan sedap.

"Kebiasaannya pada bulan Ramadan, kita sediakan antara 100 hingga 150 pek makanan setiap hari untuk diagihkan kepada golongan gelandangan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak RM1 juta sumbangan daripada orang ramai pada tahun ini yang digunakan untuk penganjuran program CSR seperti infaq van jenazah dan pek makanan.

"Kita ada buat lawatan ke Semporna, Sabah, baru-baru ini, untuk mengagihkan pek makanan kepada golongan daif di beberapa pulau di kawasan berkenaan.

"Majoriti masyarakat di kawasan itu adalah majoriti Islam dan kami mengambil peluang untuk mengajar mereka mengaji," katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2024 @ 10:32pm
d