mutakhir

JKDM tidak kompromi, lindung pegawai dan anggota terbabit jenayah rasuah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengambil langkah proaktif secara berterusan bagi mengekang aktiviti rasuah dan ketirisan di pintu-pintu sempadan.

Ia susulan penahanan 34 pegawai dan anggota JKDM oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti dimaklumkan pada sidang media oleh agensi itu, hari ini.

JKDM dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan antara langkah proaktif yang akan diambil adalah menambahbaik prosedur import atau eksport di pintu masuk negara terutamanya berkaitan kawalan 'manifest' 'airway bill' dan pengikraran.

Katanya, ia bagi memastikan pematuhan dan tata kelola baik dilaksanakan serta mewujudkan elemen semak dan imbang.

"Selain itu, kita juga mengambil langkah pelaksanaan proses saringan integriti terhadap pegawai JKDM yang akan ditempatkan di bahagian berisiko tinggi membabitkan perkastaman termasuk import atau eksport.

"Pada masa sama, JKDM juga akan menggiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan.

"JKDM juga akan meneliti semula amalan, prosedur dan tatacara kerja bagi menutup ruang dan peluang rasuah serta mendapatkan pandangan oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM bagi penambahbaikan sewajarnya," katanya.

Menurutnya, JKDM menegaskan bahawa pendirian pihak jabatan ini adalah jelas dan tegas serta tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit dengan salah laku dan pelanggaran integriti termasuk jenayah rasuah.

"Pihak JKDM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan lanjut.

"Sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terbabit hanya boleh ditentukan berdasarkan hasil daripada keputusan siasatan SPRM nanti.

"JKDM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak SPRM dalam memerangi jenayah rasuah selaras dengan agenda kami pada masa ini dalam memartabatkan nama baik jabatan pada pandangan masyarakat," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seramai 34 anggota dan pegawai JKDM yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup membabitkan ketirisan hasil cukai RM2 bilion ditahan SPRM dalam Ops Samba 2.0 sejak 11 Mac lalu.

Disiarkan pada: March 29, 2024 @ 10:57pm
d