mutakhir

FGP Ventures didenda RM25,000 tawar iRPS secara tidak sah- SSM

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: FGP Ventures Sdn Bhd, syarikat persendirian menurut syer didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Jenayah atas kesalahan menawarkan Saham Keutamaan Boleh Tebus Islam (iRPS) secara tidak sah.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam satu kenyataannya hari ini berkata FGP Ventures disabitkan dengan satu kesalahan di bawah Seksyen 90(4) Akta Syarikat 2016 berkaitan pengumpukan syer keutamaan iRPS tanpa mempunyai perlembagaan syarikat.

Menurut Seksyen 90(4) Akta Syarikat 2016, menjadi satu kesalahan apabila mana-mana syarikat persendirian menurut syer membuat pengumpukan syer keutamaan tanpa mempunyai perlembagaan syarikat dan apabila disabitkan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM500,000 di bawah sub-seksyen (5) Akta yang sama.

"FGP Ventures dan Khemlani telah membuat penawaran syer kepada orang awam dengan mendepositkan wang kepada syarikat bagi tempoh yang ditetapkan dengan jaminan faedah mengikut terma dipersetujui.

"Kedua-duanya turut membuat pengumpukan syer keutamaan tersebut tanpa mempunyai peruntukan di dalam perlembagaan syarikat pada ketika itu," katanya.

Suruhanjaya tersebut berkata tindakan pendakwaan itu adalah untuk memberi peringatan kepada komuniti korporat dan orang awam bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang yang dikawal selia oleh SSM.

Ini bagi memastikan tadbir urus korporat yang baik dan pematuhan undang-undang syarikat sentiasa diamalkan oleh warga korporat dan komuniti perniagaan di Malaysia, katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2024 @ 12:21pm
d