mutakhir

Bekas penuntut IPT nafi rogol kenalan media sosial

Oleh Alias Abd Rani

Muar: Graduan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol kenalan baru dikenali di media sosial, dua tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Fakhrul Hakim Mohamad Ali, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kenalannya berusia 15 tahun (ketika kejadian) di taman permainan di Sungai Mati, Tangkak antara 6.15 hingga 6.40 petang, 3 Julai 2022.

Dia didakwa melakukan kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan iaitu penjara tidak melebihi 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh diwakili peguam Nor Hafizah Abdullah.

Pihak pendakwaan memohon tiada jaminan ditawarkan memandangkan mangsa masih mentah.

"OKT (orang kena tuduh) melakukan perbuatan itu di mana mereka baru dua bulan mengenali di media sosial.

"Sekiranya mahkamah ingin memberikan tawaran ikat jamin, pihak pendakwaan mencadangkan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mei depan untuk sebutan semula kes terbabit.

Pada masa sama, mahkamah menetapkan dua syarat iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu atau berhubung dengan mangsa atau keluarganya.

Disiarkan pada: April 1, 2024 @ 3:02pm
d