mutakhir

Kabinet tidak bincang isu Najib dakwa dibenarkan habiskan baki penjara 6 tahun di rumah - Fahmi Fadzil

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

Putrajaya: Kabinet tidak membincangkan isu Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa titah adendum dalam pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.

"Tidak dibincangkan dalam mesyuarat (Jemaah Menteri) hari ini," kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika ditanya berhubung perkara terbabit.

Media hari ini melaporkan, Najib membuat dakwaan itu apabila memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman titah adendum atau tambahan titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Mahkamah Tinggi di sini, pada 1 April lalu, menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonan yang dimuat turun melalui sistem carian mahkamah, Najib memohon perintah untuk semua atau seorang responden melaksanakan titah Al-Sultan Abdullah dan dengan serta merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya.

Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata, Kabinet mengambil maklum perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerima menghadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Datuk Seri Dr Chai Kee Kan bagi memohon maaf berhubung isu penjualan stoking tertera perkataan 'Allah'.

Katanya, Jemaah Menteri senada dengan titah Sultan Ibrahim yang menzahirkan supaya penguatkuasaan ditegaskan dan diberikan keutamaan dalam isu berkenaan.

"Jemaah Menteri juga mengambil maklum mengenai posting di Facebook Sultan Ibrahim dan menjunjung kasih diatas perkenan untuk menerima menghadap pengasas terbabit.

"Jemaah Menteri juga senada bahawa aspek penguatkuasaan perlu ditegaskan dan juga mengambil maklum serta menjunjung titah mengenai keperluan untuk tangani mereka yang cuba menghasut rakyat," katanya.

tamat

Disiarkan pada: April 3, 2024 @ 4:51pm
d