mutakhir

Syarikat bas wajib sedia pemandu kedua bagi perjalanan lebih 300 km - JPJ

Oleh BERNAMA

Butterworth: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengingatkan kepada syarikat bas ekspres di negeri ini supaya menyediakan pemandu kedua untuk setiap perjalanan melebihi 300 kilometer (km) bagi menjamin keselamatan penumpang.

Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, peraturan itu turut diwajibkan bagi tempoh perjalanan melebihi empat jam dalam memastikan pemandu mendapat rehat secukupnya, sekali gus mengurangkan risiko berlakunya kemalangan terutamanya membabitkan kemalangan maut.

"Perjalanan jauh melebihi 300 km memerlukan pemandu kedua, tak boleh seorang (pemandu), tetapi banyak pengusaha syarikat bas yang gagal untuk menyediakannya.

"Alasan yang sering diberikan, pemandu kedua akan naik di terminal yang seterusnya untuk menggantikan pemandu pertama, bagaimanapun peraturan menetapkan bahawa dua pemandu diperlukan semasa memulakan perjalanan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan bas ekspres bersempena dengan Op Khas Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 di Terminal Bas Penang Sentral di sini, malam tadi.

Zulkifly berkata, kegagalan menyediakan pemandu kedua adalah satu kesalahan dan mana-mana syarikat yang didapati ingkar, tindakan akan diambil dengan melarang mereka daripada memulakan perjalanan sehingga peraturan itu dipatuhi.

Sementara itu, beliau berkata sepanjang tempoh operasi bermula 1 April hingga semalam, sebanyak 121 bas telah diperiksa dengan lima diambil tindakan kerana gagal menyediakan pemandu kedua.

Disiarkan pada: April 5, 2024 @ 10:27am
d