mutakhir

Rusuh, pukul pemandu: 4 lelaki Pakistan direman

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Teluk Intan: Empat lelaki warga Pakistan direman selama empat hari sehingga Isnin ini kerana merusuh dan memukul pemandu Proton Saga yang menyebabkan kematian tiga rakan senegara mereka.

Perkara itu diputuskan Majistret T Ashvinii di Mahkamah Majistret Teluk Intan di sini, hari ini, bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Suspek yang berusia antara 24 hingga 49 tahun dan bekerja sebagai buruh sawit ditahan pada 4.20 petang semalam, selepas pemandu Proton Saga terbabit membuat laporan polis menyatakan bahawa dia cedera di kepala akibat dipukul.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dilaporkan berkata, mereka ditahan selepas polis mengenal pasti suspek menerusi video tular di laman sosial melibatkan pemandu kereta dan empat lelaki terbabit.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku selepas nahas 8.10 pagi itu.

Pemandu berusia 36 tahun didapati positif ganja membuat laporan polis berkenaan insiden dia dipukul, 1 tengah hari semalam.

Ahmad Adnan berkata, pemandu kereta terbabit luka di kepala.

Kelmarin, tiga lelaki warga Pakistan maut, manakala tiga lagi parah dirempuh kereta dipandu suspek ketika berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Berita berkaitan:

Pemandu langgar mati 3 lelaki Pakistan mengaku ambil dadah

4 warga Pakistan ditahan kerana pukul pemandu kereta

Tragedi solat Aidilfitri: Hasrat masak nasi beriani tidak kesampaian

Disiarkan pada: April 12, 2024 @ 11:59am
d