mutakhir

Pemilik duit RM500,000 masih kabur?

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Tiga saksi yang juga rakan kepada pemilik syarikat mendakwa bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 ditemukan di parkir pusat beli belah adalah miliknya akan dirakam percakapan mereka minggu depan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ada beberapa perkara yang masih dalam siasatan polis dan tiga saksi itu akan tampil memberi keterangan minggu depan.

"Jika keterangan saksi terbabit menyokong dan membantu siasatan, wang itu akan diserah kembali kepada pemiliknya.

"Bagaimanapun kertas siasatan akan dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) terlebih dahulu dan menunggu arahan sebelum wang itu dapat diserah kembali," katanya ketika dihubungi Harian Metro tadi.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pemilik bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 yang ditemukan di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya, disahkan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Hussein dilaporkan berkata, bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesahkan pemilik sebenar dan sumber kewangan itu.

"Berdasarkan rakaman CCTV, kita sahkan lelaki yang dirakam keterangan itu adalah individu sama membawa bagasi terbabit. Dia mendakwa bagasi itu dibawa keluar dari apartmen untuk dibawa pulang, namun tertinggal," katanya.

Pada 19 Mac lalu, pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah menemui bagasi berisi wang tunai berjumlah RM500,000 yang ditinggalkan di parkir sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Pengawal keselamatan berkenaan kemudian membuat laporan polis berkaitan penemuan bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana kira-kira jam 8 pagi.

Disiarkan pada: April 12, 2024 @ 1:32pm
d