mutakhir

Aidilfitri suram tanpa bekalan air

Oleh Paya Linda Yahya

Gua Musang: Kegembiraan penduduk meraikan sambutan Aidilfitri di Felda Perasu, di sini, bertukar rasa kecewa apabila terputus bekalan air bersih sejak Ahad lalu.

Mereka mendakwa masalah terbabit berlaku kepada penduduk yang tinggal di kawasan tinggi di kawasan itu sudah hampir seminggu.

Seorang penduduk, Mohd Rosmizi Rosli, 43, berkata kerana masalah bekalan air bersih yang terputus dia terpaksa mengangkut air sungai untuk kegunaan harian.

Katanya, masalah bekalan air bersih yang terputus juga turut memberi kesan kepada perniagaannya yang menjual ayam proses di penempatan terbabit.

"Sejak hampir seminggu lalu saya terpaksa memunggah air sungai untuk kegunaan harian dan membersihkan ayam proses yang dijual.

"Keadaan ini sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada perniagaan ayam proses yang saya usahakan di hadapan rumah.

"Aduan sudah di buat sejak empat hari lalu kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan sehingga kini masih menanti tidak balas mereka," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk Aesah Abd Kadir, 65, berkata, kerana masalah terputus bekalan air anaknya yang pulang berhari di kampung terpaksa memendekkan cuti dan pulang awal ke ibu kota.

Katanya, dia berasa kecewa apabila masalah ini sudah berlarutan hampir seminggu sehingga hari raya agak suram kerana tidak dapat memasak dan membasuh dengan selesa.

"Makanan yang dimasak pada pagi raya pun hanya ala kadar kerana masalah tiada bekalan air bersih untuk mencuci bahan memasak selain membasuh pinggan mangkuk yang sudah digunakan," katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2024 @ 2:28pm
d