mutakhir

Bersih selar tindakan umum peruntukan terpilih menjelang PRK Kuala Kubu Bharu

Oleh Rohaniza Idris

Kuala Lumpur: Pengumuman penyaluran RM5.21 juta kepada penduduk di daerah Hulu Selangor dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Bharu jelas melanggar garis panduan digariskan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengenai pilihan raya yang bersih.

Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, pengumuman ini melanggar garis panduan Larangan 3C - tidak bersyarat, tidak berkempen dan tidak bawa calon yang telah digariskan Bersih sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 yang lalu kepada kerajaan bukan sementara (non-caretaker government), seperti Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam konteks PRK.

Katanya, peruntukan khusus kepada Kuala Kubu Bharu itu juga melanggar prinsip 'tidak berkempen' yang mengaitkan peruntukan kerajaan dengan sokongan politik.

"Tindakan ini juga boleh dianggap sebagai usaha membeli undi dan menggunakan pengaruh yang tidak wajar kerajaan terhadap pengundi di Dun Kuala Kubu Bharu yang akan mengundi 11 Mei depan.

"Bersih mengambil serius akan pengumuman menjelang PRK Dun Kuala Kubu Bharu oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

"Seperti dilaporkan media, Nga Kor Ming turut menyeru penduduk balik kampung dan meminta mengundi parti yang "baik, prihatin, progresif" walaupun tidak menyebut mana-mana parti politik dalam kerajaan," katanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah memperuntukkan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi menambah baik infrastruktur awam di bawah kelolaannya, untuk kesejahteraan penduduk sekitar Hulu Selangor.

KPKT dalam kenyataannya, berkata peruntukkan itu membabitkan 14 projek bernilai RM4.82 juta yang akan dilaksanakan oleh MPHS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM4.16 juta disalurkan melalui MPHS, manakala RM664,000 disalurkan kepada MPKK di Hulu Selangor.

Justeru, Bersih menggesa Kerajaan menghentikan amalan tidak beretika yang bercanggah dengan prinsip perlawanan politik atas padang yang sama rata dalam pilihan raya.

"Bersih melihat pelanggaran demi pelanggaran terhadap etika pilihan raya bersih dan adil oleh parti Kerajaan Madani sendiri dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini, akan terus menghakis keyakinan rakyat khususnya pengundi terhadap sistem pilihan raya dan proses demokrasi di negara ini.

"Sekali lagi Bersih menegaskan supaya diwujudkan sebuah garis panduan yang menyeluruh terkait etika kerajaan bukan sementara dan kerajaan sementara semasa tempoh pilihan raya yang bermula sebaik sahaja pembubaran Parlimen/Dun atau kekosongan kerusi, untuk dikanunkan sebagai undang-undang.

"Ini supaya tidak berlaku salah guna sumber kerajaan dalam sebarang pengumuman peruntukan dan dasar kerajaan yang diamanahkan rakyat," katanya.

Bersih menegaskan mereka akan terus komited dan konsisten tanpa gentar dan berpihak kepada mana-mana parti politik dalam memantau penjalanan pilihan raya di negara ini termasuk di PRK KKB tidak lama lagi.

"Bersih juga akan menghantar Pemantau Pilihan Raya ke PRK Kuala Kubu Bharu bagi memantau keseluruhan proses pilihan raya agar tidak berlaku pelanggaran apa bentuk kesalahan pilihan raya serta proses berlaku dengan penuh adil dan bersih," katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2024 @ 11:35am
d