mutakhir

JKM cari waris Lethy Rafina

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Jitra: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang berusaha mengesan keluarga kandung atau waris kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan sejak 2016.

Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kubang Pasu dalam kenyataan berkata, kanak-kanak perempuan itu, Lethy Rafina (warga Indonesia) berusia 10 tahun dilahirkan di Perbaungan, Indonesia pada 22 Februari 2014.

Katanya, nama ibu kandung kanak-kanak terbabit ialah Nurlela (warga Indonesia) dan bapanya, Raqfi Abdullah.

"Kanak-kanak ini ditinggalkan oleh ibu kandungnya kepada seorang penjaga sejak 2016 sehingga kini.

"Penjaga terbabit dipercayai bekas majikan kepada ibu kandung kanak-kanak berkenaan.

"Alamat terakhir kanak-kanak perempuan itu tinggal bersama ibu kandungnya adalah di Kampung Tradisi, Changlun, Kedah," katanya.

Menurut kenyataan itu, sehingga kini tiada waris yang tampilkan untuk menuntut kanak-kanak itu walaupun penjaga sudah cuba menjejaki ibu kandungnya namun gagal.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung ibu bapa kanak-kanak terbabit boleh tampil ke PKMD Kubang Pasu atau hubungi Pelindung Daerah Kubang Pasu, Fatin Amira Ahmad di talian 04-9171305

Disiarkan pada: April 21, 2024 @ 11:33am
d