mutakhir

Kementerian Pertahanan pertimbang semula penganjuran Sambutan Ulang Tahun TLDM

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan akan mempertimbangkan semula penganjuran Sambutan Ulang Tahun ke-90 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, yang dijangka berlangsung Sabtu ini.

Ia susulan nahas dua helikoper terhempas yang mengorbankan 10 mangsa dalam kejadian di Kem TLDM Lumut, Perak, hari ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya berdukacita dengan tragedi yang menimpa 10 pegawai kanan dan anggota lain-lain pangkat TLDM terbabit.

"Pihak kementerian dukacita dengan maklumat kami terima membabitkan dua helikopter terhempas semasa raptai menyambut ulang tahun ke-90 TLDM yang bakal disambut pada 27 April ini.

"Perasaan dukacita kita terhadap kejadian ini yang menimpa semasa latihan raptai buat kali ketiga untuk persiapan atur cara sambutan itu.

"Kita akan mempertimbangkan semula acara ini (sambutan ulang tahun terbabit) memandangkan ia sudah disusun oleh TLDM," katanya pada sidang media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertahanan di Kem Kementah, di sini, hari ini.

Khaled berkata, pihaknya akan menyiapkan laporan interim berhubung kejadian itu dalam masa terdekat.

"Kita akan cuba siapkan laporan itu (interim) secepat mungkin tetapi ia mungkin akan ambil masa," katanya.

Menurutnya, ada di antara mangsa terbabit sudah dikenal pasti dan ada juga sedang dalam proses kenal pasti.

"Setakat ini, kita belum lagi mendapat maklumat individu lain yang cedera dalam kejadian itu (susulan serpihan helikopter di kawasan berhampiran).

"Difahamkan sebuah helikopter terhempas di kawasan kolam renang, manakala sebuah lagi helikopter terhempas di kawasan stadium.

"Dalam kejadian itu, kesemua 10 krew berusia bawah 40-an di dalam kedua-dua helikopter berkenaan disahkan meninggal dunia dan dihantar ke (Jabatan Perubatan Forensik) Hospital Angkatan Pangkalan TLDM Lumut," katanya.

Beliau turut memaklumkan akan turun padang ke lokasi kejadian hari ini bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung nahas terbabit.

"Kami akan memberikan sokongan moral bagi menenangkan ahli keluarga terbabit kerana ketika ini saya percaya apa paling penting adalah nyawa yang tidak dapat diganti.

"Ada mangsa ini base (bertapak) di Lumut dan ada di Kota Kinabalu, Sabah. Bagi ahli keluarga yang berada di Sabah, kita akan bawa mereka ke sini (Lumut).

"Bantuan lain akan menyusul kemudian mengikut kebiasaan," katanya.

Menurutnya, pihak kementerian bersetuju untuk menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

"Kami berharap masyarakat tidak akan menularkan video kejadian itu bagi menjaga sensitiviti ahli kelurga mangsa," katanya.

TLDM tubuh Lembaga Siasatan

Mangsa nahas helikopter TLDM dikenal pasti

2 helikopter dinaiki 10 kru

10 dilaporkan terkorban

Dua helikopter terhempas selepas berlanggar di udara

Disiarkan pada: April 23, 2024 @ 12:49pm
d