mutakhir

Bomba terpaksa dipanggil bantu murid kaki tersepit di besi longkang

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Khidmat khas bomba terpaksa digunakan bagi mengeluarkan kaki murid lelaki yang tersepit di celah besi longkang di Bintulu, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.50 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan 10 anggota termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

"Setibanya di lokasi didapati kaki seorang kanak-kanak lelaki tersepit di celah besi penutup longkang di Jalan Kampung Baru Masjid Darul Salam.

"Pasukan bomba bertindak menggunakan 'rescue tool' bagi memotong besi itu sehingga berjaya mengeluarkan kaki murid terbabit," katanya.

Menurutnya, murid terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Disiarkan pada: April 24, 2024 @ 3:48pm
d