mutakhir

Najib tidak pernah arah pengurusan kanan 1MDB pindah dana kepada syarikat milik Jho Low

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak tidak pernah mengarahkan pengurusan kanan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membuat pemindahan dana berjumlah AS$1.03 bilion kepada sebuah syarikat yang dimiliki ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, Mahkamah Tinggi, hari ini, diberitahu.

Pada prosiding perbicaraan kes skandal kewangan 1MDB itu, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penguasa Kanan Nur Aida Arifin, bersetuju dengan cadangan peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin bahawa Najib tidak mengarahkan pindahan itu kepada akaun Good Star Limited milik Jho Low.

Soalan dikemukakan Wan Azwan Aiman adalah berdasarkan kepada dokumen membabitkan transaksi yang dilakukan di antara 2009 dan 2011.

Saksi pendakwaan ke-49 itu juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas Ketua Pegawai Operasi Radhi Mohamad, bekas Pengarah Kewangan Terrence Geh Choh Heng dan bekas Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee adalah individu yang membenarkan wang itu dipindahkan ke akaun Good Star.

Dalam keterangannya sebelum ini, Nur Aida mengesahkan dana berkenaan dipindahkan ke dalam akaun Good Star, yang mana berdasarkan kepada kes pendakwaan, ia bukan anak syarikat Petrosaudi International (PSI) dari Arab Saudi yang menjalinkan usaha sama dengan 1MDB.

Menurut kes pendakwaan, pada September 2009, sebahagian dana berjumlah AS$700 iaitu daripada usaha sama itu dipindahkan kepada Good Star dan AS$330 juta lagi dipindahkan kepada syarikat luar pesisir pada Mei 2011.

Pihak pendakwaan juga menyatakan bahawa pengurusan tertinggi 1MDB mematuhi arahan daripada Low, yang juga adalah 'alter ego' sebenarnya dan bayangan Najib.

Nur Aida memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

tamat

Disiarkan pada: April 25, 2024 @ 5:05pm
d