mutakhir

Seksa Sulcata Sahara

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Putrajaya: Ditangkap berhampiran gurun Sahara di benua Afrika Utara sebelum diseludup ke negara ini melalui perjalanan sejauh lebih 8,000 kilometer.

Itu antara derita dilalui enam kura-kura Sulcata yang dirampas pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia selepas ditemui diseludup ke Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, sepasukan empat pegawainya melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah rumah jam 9 malam kelmarin.

"Dua lelaki tempatan berusia 30-an dan 50-an ditahan untuk soal siasat susulan risikan dilakukan sebelum ini.

"Pemeriksaan menemui dua kura-kura katup dan enam kura-kura Sulcata yang disimpan tanpa lesen sah di kediaman itu," katanya.

Katanya, semua kura-kura itu bernilai lebih RM13,000 disita dan dibawa ke Pejabat Perhilitan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

"Suspek yang memiliki kura-kura ini boleh didakwa di mahkamah mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya.

Difahamkan kura-kura Sulcata menjadi buruan dan kerap diseludup ke negara ini berikutan harganya boleh mencecah sehingga AS$5,000 (RM23, 000) mengikut saiz haiwan berkenaan.

Haiwan itu yang menjadi spesies terancam mampu mencapai berat lebih 100 kilogram serta boleh mencapai usia melebihi 60 tahun.

Disiarkan pada: April 27, 2024 @ 8:42am
d