mutakhir

Dua lelaki ditahan uji kelajuan kenderaan

Oleh BERNAMA

Kota Bharu: Dua lelaki ditahan kerana menguji kelajuan kenderaan di jalan awam dalam Op Samseng Jalanan di Pasir Tumboh dan Peringat, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud dalam kenyataan malam tadi berkata tindakan pemandu kereta berusia 39 tahun dan penunggang motosikal berusia 19 tahun itu dilihat membahayakan nyawa sendiri.

Susulan penahanan itu polis menyita sebuah kereta dan dua buah motosikal di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta mereka direman sehingga esok.

Beliau berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu itu bertujuan mencegah aktiviti permotoran yang mengganggu ketenteraman awam pada waktu malam dengan pemanduan yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Dalam operasi itu polis telah memeriksa sebanyak 63 buah kenderaan melibatkan motosikal dan kereta dan turut mengeluarkan sebanyak 85 saman kepada mereka yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk pengubahsuaian ekzos serta tiada lesen memandu.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini," katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2024 @ 9:24am
d