mutakhir

Ipoh harum sedunia

Oleh BERNAMA

Ipoh: Sudah tidak asing dalam kalangan masyarakat negara ini akan pengiktirafan antarabangsa yang diterima bagi roti canai dan nasi lemak, sama ada sebagai makanan terbaik ataupun popular dunia, bagai mengesahkan uar-uar bahawa Malaysia adalah antara syurga makanan.

Malah, populariti nasi lemak misalnya, turut mendapat perhatian Agensi Perisikan Pusat (CIA), iaitu badan perisikan Amerika Syarikat, yang merekodkan fakta menarik tentang hidangan tersebut di laman Facebook rasminya.

Terbaharu, Ipoh White Coffee pula menyertai kelompok makanan 'elit' ini apabila diiktiraf oleh TasteAtlas - laman sesawang yang menyediakan panduan tentang makanan dan minuman atau resipi pilihan masyarakat dunia - sebagai antara produk kopi paling popular dalam kalangan komuniti antarabangsa.

Menduduki tempat ke-10 daripada 39 Kopi Terbaik di Dunia, Ipoh White Coffee meletakkan bandar raya Ipoh dalam atlas penggemar kopi antarabangsa.

Mengulas tentang pencapaian membanggakan itu, Pengarah Urusan Chang Jiang International Sdn Bhd Kong Kin Loong berkata sejarah kopi putih menjadi produk trademark (pengenalan) syarikatnya bermula pada 1988.

"Ketika itu saya dan ayah, Kong Wing Kheong, cuba memperkenalkan kopi putih yang dikaitkan dengan orang Cina dari wilayah Hainan, China, di kedai kopi kami, iaitu Kedai Kopi Chang Jiang di Jalan Pasir Puteh di sini.

"Saya teliti sejarah dan mendapati bahan asas yang membuatkan kopi jadi lebih berkrim dan berkaramel adalah biji kopi perlu dipanggang dengan marjerin," ujarnya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, usahawan berusia 47 tahun itu berkata beliau kemudian mencampurkan sedikit marjerin, susu pekat dan susu cair dalam bancuhan kopi sebelum 'ditarik' bagi menghasilkan buih.

"Minuman kopi yang dihasilkan nyata lebih enak dengan rasa berkrim dan sedikit masin," katanya, menambah produk itu terhasil selepas beberapa cubaan, berdasarkan maklum balas daripada pelanggan.

"Pada peringkat awal, masa saya mula-mula belajar buat kopi ini, pelanggan ada kompelin yang kopi tak 'kaw' (pekat), terlebih susu, terkurang kopi dan sebagainya. Disebabkan 'tidak kaw' dipanggil 'bai' (dalam bahasa Cina yang bermaksud putih), saya cadangkan kepada ayah agar produk ini dinamakan kopi bai (kopi putih)," tambah anak jati Ipoh itu lagi, berkongsi tentang asal-usul nama kopi berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, untuk menghasilkan secawan kopi putih sebenar - berlemak, sedikit masin dan berkrim - selain serbuk kopi yang dipanggang dengan marjerin, seseorang itu juga perlu memastikan sukatan susu pekat dan cair serta suhu air yang tepat.

"Mungkin ramai tidak tahu, kopi putih boleh diminum tanpa susu yang diganti dengan sedikit marjerin," jelas beliau lagi.

Bagi memastikan keaslian rasa, Kin Loong memanggang sendiri biji kopi untuk dijadikan serbuk kopi di kedainya ketika itu.

Keunikan rasa kopi putih itu membuatkan minuman berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan selain peningkatan permintaan terhadap serbuk kopi tersebut.

Pada 1990, Kin Loong membuka kilang mengeluarkan serbuk kopi putih dengan jenama Chang Jiang Ipoh White Coffee.

"Nama itu bersempena dengan nama sungai (terpanjang) di China, iaitu Sungai Yangtze atau turut dikenali sebagai Chang Jiang (dalam kalangan rakyat China).

"Di kilang ini, saya tumpukan pada penghasilan serbuk kopi putih sedia dibancuh. Banyak penambahbaikan saya lakukan terhadap resipi asal bagi memastikan pelanggan menikmati rasa kopi terbaik," ceritanya.

Menurut Kin Loong, selain biji kopi tempatan, syarikatnya turut menggunakan biji kopi yang diimport dari Indonesia dan Vietnam.

"Campuran biji kopi ini diadun dengan marjerin, gula serta garam dan dipanggang. Tidak ada bahan rahsia kerana keenakan serbuk kopi yang terhasil terletak pada teknik dan sukatan bahan semasa membancuh," katanya.

Mempunyai kira-kira 200 pekerja, kilang itu mengeluarkan beberapa produk kopi putih, antaranya ialah Ipoh White Coffee, Kaw Kaw Tea Powder, Kaw Kaw Coffee O, Kaw Kaw White Coffee, Chang Jiang Black Coffee dan Hallo Coco.

Ditanya beliau tidak risau dengan persaingan kerana begitu mudah berkongsi resipi, Kin Loong berkata syarikatnya tidak lokek untuk menurunkan ilmu kepada ahli masyarakat yang berminat membuka kafe atau kedai kopi.

"Tiada istilah selfish dalam perniagaan kami. Resipi sedap mesti dikongsi dan dirasai oleh semua orang. Kami tidak tergugat (jika ada persaingan) kerana kami adalah pencipta (asal kopi putih). Kami gembira apabila mendengar pelanggan memuji kopi kami enak.

"Kami gembira bila dengar pelanggan buka kedai kopi atau tambah cawangan menggunakan kopi jenama kami," celah isteri beliau, Foong Choa Mun yang juga ketua pegawai eksekutif syarikat.

Menurut Foong, 46, syarikat mereka kini menampung 80 peratus bekalan serbuk kopi bagi pekedai di sekitar bandar raya ini.

"Kami mempunyai pelanggan yang membuka kafe di seluruh Malaysia gunakan kopi kami. Malah, terdapat pekedai di Los Angeles (Amerika Syarikat) yang menggunakan kopi kami di kafenya," katanya.

Menurutnya, produk kopi mereka menembusi pasaran Indonesia, Singapura, Hong Kong, Taiwan, Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan England. dengan nilai eksport kira-kira RM5 juta setahun.

Disiarkan pada: May 5, 2024 @ 7:40am
d