mutakhir

Kes Akhyar masih terarah kepada kejadian samun

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Siasatan membabitkan kejadian pemain pasukan Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid yang diserang individu tidak dikenali berhampiran sebuah kondominium di sini, Khamis lalu masih terarah kepada kes samun.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kes menimpa pemain berusia 25 tahun itu tidak mempunyai kaitan dengan kes membabitkan seorang lagi pemain kebangsaan semalam.

"Setakat ini, tiada ada hubungan antara kes Akhyar dan Faisal Halim yang disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Damansara semalam.

"Kes Akhyar kita masih siasat berkaitan dengan samun dan kita minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dua kejadian itu.

"Fokus kita ketika ini adalah mengesan suspek yang dipercayai terbabit dalam insiden berkenaan.

"Setakat ini, kita tidak menemui sebarang petunjuk baru dan kita sedang membuat semakan kamera litar tertutup (CCTV) sepanjang jalan yang menjadi laluan ke lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini.

Media sebelum ini melaporkan kejadian menimpa Akhyar yang diserang individu tidak dikenali berhampiran sebuah kondominium di sini, Khamis lalu bermotifkan samun.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa cedera di kepala, kaki kiri dan lengan kiri selain menanggung kerugian hampir RM5,000.

Semalam, bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan, Faisal Halim mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badannya selepas diserang seorang individu tidak dikenali dengan menggunakan bahan dipercayai asid.

Disiarkan pada: May 6, 2024 @ 2:55pm
d