mutakhir

'Tiada yang lebih bernilai apabila melihat Ping Ann aktif dan sihat'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Tiada apa yang membahagiakan ibu bapa ini apabila melihat keadaan anak perempuan tunggal mereka yang sebelum ini bagaikan 'nyawa di hujung tanduk' kini membesar dengan sihat dan semakin petah bercakap.

Itu dirasai Teh Ghee Lim, 40, dan Zen Meilani, 33, yang bersyukur melihat perkembangan positif anak kesayangan, Teh Ping Ann, 3, yang mempunyai penyakit berkaitan genetik dan menjalani pembedahan pemindahan sum-sum tulang.

Selepas menjalani pembedahan pemindahan sum-sum tulang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 28 April 2023 yang diketuai Prof Dr Hany Ariffin, kanak-kanak itu semakin sihat namun masih menjalani pemeriksaan berkala.

Teh berkata, dia dan isteri terharu melihat keadaan dan perkembangan kesihatan anaknya yang mesra disapa Ping Ann yang semakin positif serta sihat, malah mengakui ia bagaikan peluang kedua untuk melihat anak membesar.

Menurutnya, sebelum menjalani pembedahan di Singapura, Ping Ann mengalami pendarahan otak menyebabkan komplikasi yang kini menjejaskan penglihatan mata kiri dan pergerakan badan di bahagian kanan yang kurang berdaya.

"Doktor ada beritahu keadaan otak anak kritikal dan kesan pendarahan berisiko menyebabkan Ping Ann menjadi kurang upaya dan terlantar sepanjang hidupnya tetapi kami tetap memilih mahu anak diselamatkan (menjalani pembedahan).

"Selepas menjalani rawatan untuk pendarahan otak, Ping Ann menjalani pembedahan sum-sum tulang di PPUM pula dan saya bersyukur ia berjaya dan kini dia semakin sihat," katanya ketika ditemui di Kompleks Kesihatan Wanita dan Kanak-Kanak (KWKK) PPUM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity), Datuk Chua Sui Hau, pihak yang membantu pembiayaan perubatan kanak-kanak itu.

Bagaimanapun katanya, kesan pendarahan otak menyebabkan penglihatan mata kiri Ping Ann terjejas dan kini bergantung dengan penglihatan mata kanan manakala pergerakan badan bahagian kanan juga tidak berdaya.

"Ping Ann masih memerlukan bantuan untuk berjalan tetapi dia seorang anak yang aktif dan banyak bercakap. Dia hanya diam apabila tidur dan sebaik bangun tidur mulutnya juga akan 'bangun' bersama tetapi kami suka melihat keadaannya.

"Saya ambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada semua pihak terutama penyumbang, One Hope Charity dan pasukan perubatan (di Singapura dan PPUM) kerana bantu dan tidak pernah berputus asa menyelamatkan anak," katanya yang menjadi penderma sum-sum tulang kepada anaknya.

Sementara itu, Meilani berkata, perjalanan selama tiga tahun berjuang bersama Ping Ann bukan sesuatu mudah dan banyak pengorbanan, cabaran dan air mata sepanjang tempoh itu, namun dia dan suami tidak pernah berputus asa.

"Pengorbanan tiga tahun ini berbaloi dan tiada apa yang lebih bernilai jika dibandingkan dengan anak yang semakin aktif serta sihat, malah hati 'berbunga' dan bangga apabila Ping Ann buat kali pertama memanggil 'mommy' selepas dia sihat.

"Bagi saya kekurangan dirinya tidak menyebabkan kami sedih atau kecewa kerana dia tetap sempurna di mata kami. Hati ini lega melihat anak sudah tidak perlu buat rawatan menyakitkan termasuk selalu mengambil darah," katanya.

Sebelum ini Harian Metro menyiarkan kisah kanak-kanak yang berasal dari Simpang Ampat, Pulau Pinang itu memerlukan dana segera bagi menampung kos rawatan dan pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

Ping Ann ketika itu berusia setahun sepatutnya menjalani pembedahan pemindahan sum-sum tulang namun mengalami pendarahan otak dan memerlukan dua pembedahan tempurung kepala yang menelan kos sekitar RM800,000.

Disiarkan pada: May 6, 2024 @ 3:17pm
d