mutakhir

TH teruskan perkhidmatan bayaran dam, korban melalui aplikasi THiJARI

Bagi memudahkan bakal jemaah haji negara untuk melunaskan tanggungjawab, Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan perkhidmatan bayaran dam dan korban melalui aplikasi THiJARI untuk musim haji tahun ini seperti mana tahun sebelumnya.

Pengarah Eksekutif Operasi TH Mohamed Ameen Abdul Wahab memaklumkan bakal haji bagi musim 1445H/2024 boleh membuat pembayaran dam sebelum ke tanah suci Makkah.

"Bertepatan dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, bakal haji tahun ini yang akan melaksanakan ibadah haji secara Tamattu' dan Qiran digalakkan untuk bertindak melaksanakan bayaran dam pada kadar semasa yang ditentukan sebelum sampai di tanah suci kerana ianya lebih mudah," katanya.

Beliau berkata, sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan haji yang menyeluruh, tahun ini TH terus menyediakan kemudahan perkhidmatan bayaran dam dan korban melalui aplikasi THiJARI dan juga melalui kaunter pejabat cawangan di seluruh negara.

Menurutnya, kaedah pembayaran secara atas talian ketika di tanah air lagi pastinya dapat membantu menyenangkan lagi bakal haji berbanding ketika tiba di Makkah nanti.

Jelasnya, pembayaran dam tahun ini ditetapkan pada kadar RM725 bagi seekor kambing/kibas di mana daging sembelihan ini akan diagihkan kepada penduduk yang layak di Makkah.

Manakala, kadar pembayaran korban pula ditetapkan pada RM936 untuk seekor kambing/kibas dan urusan pengagihan akan dilaksanakan oleh Islamic Development Bank (IDB) kepada penduduk Islam yang layak terutamanya di rantau negara teluk dan benua Afrika.

Tawaran pelaksanaan korban ini turut dibuka kepada semua pendeposit TH. Pembayaran dam dan korban ini boleh dilaksanakan melalui aplikasi THiJARI bermula hari Isnin, 29 April 2024 ataupun secara bersemuka melalui pembayaRan di mana-mana kaunter pejabat cawangan TH di seluruh negara.

Mohamed Ameen turut mengingatkan kepada semua bakal haji supaya berwaspada dengan sebarang tawaran pembayaran dam yang mencurigakan daripada agensi pelancongan ataupun pihak yang mengambil kesempatan.

 "TH berasa bertanggungjawab mengingatkan kepada pendeposit terutamanya bakal haji menyemak dan memeriksa terlebih dahulu sebarang syarikat penyedia perkhidmatan korban atau dam secara teliti bagi mengelakkan dari terpedaya dengan taktik scammer.

"Sekiranya bakal haji ingin laksanakan korban atau dam dengan sendirinya, dinasihatkan supaya bakal haji memastikan syarikat yang menawarkan perkhidmatan tersebut berdaftar secara sah dan mempunyai pengalaman serta rekod pengurusan pelaksanaan dam dan korban yang baik di tanah suci," katanya.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919, Faks: 03-7728 4959 atau e-mel th-info@lth.gov.my.

Disiarkan pada: May 10, 2024 @ 10:05am
d