mutakhir

Polis minta saksi kemalangan di Jalan Othman tampil bantu siasatan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Polis meminta saksi kemalangan yang mengakibatkan dua kenderaan terbakar di persimpangan lampu isyarat Jalan Othman di sini, tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, polis menerima laporan kejadian jam 8.18 pagi tadi.

"Siasatan mendapati kemalangan berlaku jam 6.59 pagi apabila kereta dipandu seorang wanita berusia 56 tahun terlanggar lampu isyarat sebelum merempuh sebuah kereta dan motosikal yang datang dari arah Jalan Templer.

"Akibat pelanggaran, Honda Accord dipandu wanita itu dan motosikal Yamaha Lagenda terbakar di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulnizam berkata, penunggang motosikal berusia 53 tahun mengalami kecederaan parah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta individu yang berada atau melihat kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Saiful Hasan di talian 011-21942572 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: May 11, 2024 @ 1:06pm
d